Sydney: Menteri Luar Australia, Julie Bishop meminta Indonesia mengetatkan kawalan di sempadannya selepas Jakarta mendesak jawapan dari Canberra berhubung tuduhan negara itu membayar bot yang membawa pencari suaka politik supaya berpatah balik.

Julie mengeluarkan kenyataan itu selepas Kementerian Luar Indonesia berkata, sekiranya tuduhan berkenaan benar ia adalah tahap paling rendah dalam cara Canberra menangani isu pendatang berkenaan.

Jakarta juga menuntut penjelasan berhubung dakwaan kapten dan lima kru sebuah bot yang membawa pendatang dari Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka dibayar masing-masing AS$5,000 (RM18,783) oleh pegawai Imigresen Australia untuk berpatah balik ke Indonesia.

Kru kapal itu membuat dakwaan berkenaan selepas ditahan polis Indonesia di pulau Rote, barat negara itu pada minggu lalu.

Julie dalam satu wawancara dengan akhbar The Australian berkata, Indonesia yang patut dipersalahkan kerana gagal menguruskan sempadannya dengan baik.

“Saya menunggu siasatan penuh oleh Indonesia mengenai jenayah penyeludupan manusia di negara itu.

“Cara terbaik untuk Indonesia menyelesaikan sebarang kebimbangan mengenai Operasi Kedaulatan Sempadan kami adalah dengan menegakkan kedaulatan di sempadan mereka sendiri.

“Operasi kami ini penting kerana bot dari Indonesia dan kru warga negara itu meninggalkan wilayah Indonesia bagi mengancam kedaulatan negara kami,” tegasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:37 PM