Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya ingin tahu mengenai hukum bermain kutu. Saya menyertai permainan kutu ­jenis MLM, bayar sekali saja pada peserta nombor satu sebanyak RM50, kemudian perlu mencari orang lain untuk masuk kutu. Peserta mengikut giliran dan kedudukan berganjak.

ROS, Seremban, Negeri Sembilan

Permainan kutu yang biasa dilakukan dengan berhutang, menghimpun, mengumpul atau menyimpan duit dengan giliran membayar dan menerima bersama dengan beberapa peserta yang lain.

Bagi memastikan perjalanan hutang, simpanan dan penerimaan ini berjalan dengan baik maka wajib diadakan akad atau perjanjian yang dipersetujui supaya tiada penipuan.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat terpanjang dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.

“Dan hendaklah seorang penulis dalam kalangan kamu menuliskannya dengan benar.

“Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah SWT mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu menyebut apa yang dituliskan, dan hendaklah ia be taqwa kepada Allah Tuhannya.” (surah al-Baqarah, ayat 282)

Maka, jika tidak dilakukan akad, ia terdedah kepada penipuan. Undang-undang sedia ada pula melarang permainan kutu ini walaupun ia harus dalam beberapa keadaan yang selamat.

Namun, dalam contoh MLM yang saudara beri itu, bukan permainan kutu yang biasa dilakukan. Ia seolah-olah skim MLM sangat terdedah kepada penipuan dan manipulasi orang atas kepada yang di bawah. Ini kerana akan sampai satu tahap mereka yang di bawah hanya membayar dan mereka tidak akan mendapat apa-apa daripada bayaran itu.

Pada satu keadaan yang lain pula, orang di bawah akan berusaha bersungguh-sungguh tetapi yang di atas hanya menunggu keuntungan semata-mata. Bukankah ini suatu penindasan? Walahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 1:10 AM