GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

KITA bertuah menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Kemuliaan Rasulullah dinobatkan sendiri oleh Allah SWT. Dalam al-Quran, Allah memuji kekasih-Nya itu pada banyak tempat.

Antaranya menerusi surah al-Taubah, ayat 128 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu dan amat belas lagi penyayang kepada orang beriman.”

Apakah tugas utama baginda untuk kita teruskan tugas itu?

Allah menerangkan dalam surah Ali Imran, ayat 164 yang bermaksud: “Sungguh Allah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

Terdapat beberapa tugas utama yang dinyatakan dalam ayat itu iaitu:

n Membacakan ayat-ayat Allah

n Melalui proses penyucian jiwa

n Mengajarkan al-Kitab dan al-Hikmah

Itu tugas yang perlu kita teruskan dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Biar kehadiran kita sebagai umat Nabi Muhammad dirasai peranannya membawa berita yang memotivasikan, memberi peringatan yang menggetarkan hati serta menjadi ikutan dalam kehidupan manusia.

Nabi SAW juga membawa rahmat ke sekalian alam melalui firman-Nya,

“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Rahmat yang dibawa bukan sahaja saat baginda masih hidup, bahkan melimpah sehingga baginda wafat.

Dalam Kitab al-Syifa, karya Imam al-Qadhi Iyadh mengatakan rahmat bagi orang beriman ialah dalam bentuk hidayah petunjuk ke jalan yang benar.

Bagi orang munafik pula, mereka rasa selamat daripada pembunuhan. Itu kerahmatan ajaran Nabi SAW. Manakala bagi orang kafir, mereka mendapat rahmat dengan dilewatkan azab.

Ibnu Abbas berkata: “Rahmat bagi orang mukmin dan orang kafir adalah apabila diselamatkan daripada musibah yang menimpa umat-umat terdahulu.”

Qatadah berkata, Allah mengangkat kedudukan Nabi SAW dengan menjadikan nama baginda sentiasa disebut di dunia dan akhirat.

Orang yang menunaikan solat tidak akan terlepas dari menyebut nama baginda.

Ibnu Atho’ berkata: Allah menjadikan syarat sempurna iman itu dengan menyebut nama-Nya dan nama Baginda.

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” (Surah Al-Insyirah, ayat 5-8)

Berhadapan pelbagai ujian boleh menyebabkan kita terduduk, bahkan tersungkur.

Namun, ayat-ayat itu memujuk keimanan kita supaya meyakini pertolongan Allah.

Pentingnya bersangka baik dengan Allah sehinggakan Jabir berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda tiga hari sebelum Baginda wafat, maksudnya: “Janganlah kamu mati melainkan telah bersangka baik kepada Allah.” (Riwayat Muslim)

Al-Hattab berkata: sunat bagi orang yang dalam sakaratul maut bersangka baik dengan Allah. Dan sangkaan ini hendaklah bertambah ketika hampir mati dan ketika sakit. Ini tanpa dinafikan sangkaan baik bagi orang yang mukallaf hendaklah sentiasa kepada Allah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 10/220 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/10)

Bukankah antara rahmat kehadiran Baginda untuk membebaskan kita daripada tekanan dalam kehidupan?

Itu jalan mudah untuk diikuti supaya kita tidak takut dan tidak pula bersedih lama.

>>Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:38 AM