FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

SALAH faham yang berlaku terhadap Islam adalah kerana tidak bertoleransi terhadap agama lain.

Kejahilan ke atas ajaran al-Quran dan sunah serta sikap tidak bertanggungjawab, keterlaluan, malah tindakan kumpulan yang mengaku mempertahankan Islam namun berlaku sebaliknya, menyumbang kepada gambaran yang salah terhadap Islam.

Seluruh umat Islam perlu mempunyai sikap toleransi serta bertanggungjawab mempromosi mesej keindahan Islam seperti mengadakan dialog antara agama.

Bertoleransi bukan bermakna kita mengalah. Umat Islam dianjurkan menggunakan kaedah yang terhormat dan sopan sepertimana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Sekiranya orang bukan Islam cenderung tidak bersetuju dengan mesej Islam, walaupun semua hujah dan logik diberikan, mereka tetap tidak boleh dikenakan sebarang ben-tuk paksaan dan kekerasan untuk menerima Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Ayat itu diturunkan berhubung peristiwa membabitkan seorang lelaki Ansar dari suku Bani Salim bernama al-Husayn. Dia mempunyai dua anak lelaki beragama Nasrani, sedangkan dia beragama Islam.

Pada satu hari, al-Husayn datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Bolehkah saya memaksa dua anak saya itu supaya memeluk Islam kerana mereka tidak sukakan Islam dan mahu kekal beragama Nasrani?” Lalu Allah SWT menurunkan ayat itu.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Ayat itu dengan jelas menetapkan bahawa:

1. Islam mengecam sebarang paksaan dalam menerima Islam.

2. Islam tidak memerintahkan umat Islam berperang untuk menyebarkan kepercayaan.

Bukan saja orang Islam dilarang memaksa orang bukan Islam menerima Islam, tetapi mereka juga diperintahkan untuk berinteraksi dan berurusan dengan cara yang adil lagi baik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu),

dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu.

“Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 1:59 AM