LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nadia Hamid


PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan kesihatan rakan politiknya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Ahmad Takiyuddin Abdul Rahman.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memanjatkan doa supaya Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sembuh dengan segera.

“Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada kedua-duanya, Muhyiddin dan Ahmad Takiyuddin untuk cepat sembuh seperti sediakala.

“Marilah berdoa semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita semua untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta menjaga amanah yang diberikan oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, dalam kenyataan sama turut memuat naik doa daripada ayat 186, surah Al Baqarah.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Semalam, Muhyiddin dilaporkan selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada pankreas dan kini berada dalam keadaan stabil.

Sepanjang ketiadaan Muhyiddin, tugas Menteri Dalam Negeri akan digalas oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 7:31 PM