Beijing: Seorang murid berusia lapan tahun ditikam hingga mati sementara dua rakan sekelasnya cedera parah semalam, dalam serangan terbaru terhadap murid sekolah di China.

Seorang suspek yang dibebaskan dari penjara April lalu menyerang kanak-kanak berkenaan di Jiangxi, wilayah timur China ketika mereka berjalan pulang dari sekolah.

Sumber berkata, dua pelajar yang cedera itu dimasukkan ke unit rawatan rapi. Tiada butir lanjut mengenai mereka setakat ini.

Jenayah ganas jarang berlaku di China berbanding negara lain tetapi serangan terhadap murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun lalu.

Mei lalu, seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam mati lapan murid di Hubei. Pada Disember 2012, seorang lelaki menyerang sebuah sekolah luar bandar di Henan dan menikam 23 murid. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:05 AM