FOTO fail menunjukkan orang ramai menyalakan lilin di luar pusat jagaan Good Shepherd pada 6 April lalu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan orang ramai menyalakan lilin di luar pusat jagaan Good Shepherd pada 6 April lalu. FOTO AFP
AFP

Brasilia: Remaja lelaki berusia 13 tahun menikam tiga rakan sekelasnya di sebuah sekolah di Brazil, pada Selasa.

Serangan maut kedua dalam tempoh 24 jam itu menambah kebimbangan terhadap keganasan sekolah yang semakin meningkat.

Minggu lalu, seorang lelaki bersenjata kapak menceroboh masuk ke sebuah prasekolah dan menetak mati empat kanak-kanak berusia empat sehingga tujuh tahun.

Kemudian polis melaporkan seorang pelajar di pusat bandar Santa Tereza membaling mercun ke dalam bilik darjah dan menyerang rakan sekelas dengan pisau yang mengakibatkan tiga cedera.

Isnin lalu, seorang pelajar di bandar utara Manaus menikam seorang guru dan dua rakan sekelas.

Menteri Kehakiman Flavio Dino berkata, suasana panik tercetus berikutan serangan ke atas prasekolah dan pusat jagaan Good Shepherd di bandar selatan Blumenau.

Penyerang berusia 25 tahun memanjat tembok sekolah dan mengamuk di taman permainan serta membunuh empat mangsa sebelum menyerah diri.

Susulan itu, kerajaan mengumumkan peruntukan AS$29 juta (RM128 juta) untuk meningkatkan keselamatan di sekolah.

Keganasan sekolah yang membawa maut jarang berlaku di Brazil tetapi meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada November tahun lalu, seorang penembak berusia 16 tahun membunuh empat orang dalam serangan di dua sekolah di bandar tenggara Aracruz.

Kejadian tembakan paling tragis di Brazil pada 2011 apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di bekas sekolah rendahnya di pinggir bandar Rio de Janeiro di Relengo, membunuh 12 kanak-kanak sebelum suspek membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 11:49 AM