ZULKERNAI (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar  kelas jahitan SBJK.
ZULKERNAI (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar kelas jahitan SBJK.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Masa depan ‘anak fitrah’ Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) semakin cerah apabila ramai pihak tanpa mengira latar belakang bekerjasama menyumbang kepakaran masing-masing bagi membantu meningkatkan kualiti akademik dan kokurikulum pelajar.

Kolaboratif berkenaan selaras dalam Anjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu menggalakkan pembabitan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta untuk membentuk ekosistem pembelajaran serta meningkatkan keberhasilan pelajar.

Pengetua SBJK Zulkernai Fauzi berkata, kerjasama secara langsung dan berterusan daripada pihak luar itu menjadi tonggak sokongan kepada pihak sekolah dalam memastikan inisiatif digariskan dalam PPPM dilaksanakan dengan berkesan.

“Pembabitan pihak lain penting untuk menyokong sekolah menghasilkan pelajar yang bukan saja berjaya dalam pelajaran tetapi kokurikulum, kemahiran, sahsiah dan membentuk nilai murni dalam diri mereka.

“Sebanyak 17 pihak termasuk golongan ibu bapa, komuniti, badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga bersama pihak sekolah memainkan peranan masing-masing kepada keberhasilan pelajar.

“Golongan ini boleh menjadi duta kecil kerana sekolah jenis ini adalah satu-satunya yang wujud di dunia, malah pembabitan mereka ini secara tidak langsung menjadi contoh yang baik kepada sekolah lain,” katanya.

Pengerusi Persatuan Alumni Prince’s Road School (PRS) Datuk Aznil Nawawi berkata, tapak bangunan SBJK adalah tempat bersejarah yang menjadi saksi kebangkitan bandar raya Kuala Lumpur dan juga tapak sekolah asal PRS.

“Sebagai bekas pelajar sekolah ini (PRS), saya terpanggil untuk membantu pelajar SBJK dengan memberi suntikan semangat kerana kebanyakan mempunyai tahap keyakinan rendah.

“Kita mahu anak-anak ini tahu hak mereka untuk mendapat pelajaran sama seperti pelajar lain bukan dipinggirkan seperti yang mereka sangka.

“Di bawah alumni PRS, kami bergerak mengumpul duit untuk mengadakan aktiviti amal bersama pelajar SBJK seperti lawatan sambil belajar, beli-belah keperluan sekolah dan terbaru saya bekerjasama dengan sebuah syarikat Korea untuk mengajar ‘fun learning’ dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Malek Noor pula berkata, mereka berperanan menyumbang kepakaran sukan kepada pelajar SBJK selaras dengan matlamat memberi akses sukan kepada semua masyarakat.

“Kita menawarkan kepakaran profesional dari segi teknik, bimbingan dan peralatan permainan sukan dua kali seminggu mengikut minat pelajar SBJK seperti bola jaring, bola sepak, olahraga, memanah dan gimnastik.

“Namun, pemilihan sukan itu perlu mengikut kesesuaian pelajar berdasarkan saiz badan, stamina dan minat.

“Bagi saya, anak-anak ini sangat bertenaga dan berjiwa kental malah mereka berpotensi dilatih menjadi bakal pelapis sukan,” katanya.

Menurut Pengarah Projek Kechara Soup Kitchen Justin Cheah, melalui program menghidangkan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu kota, mereka dapat merujuk kanak-kanak yang keciciran sekolah dan masalah tiada pengenalan diri kepada pihak berkaitan.

“Kami sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu, ketika membantu memberi makanan kepada gelandangan kami mengenal pasti ramai kanak-kanak tidak dapat ke sekolah kerana masalah tiada surat beranak, kemiskinan dan lain-lain.

“Melalui program ini, kami dapat mengesyorkan kanak-kanak berkenaan kepada pihak berkaitan termasuk SBJK.

“Misi kami sama dengan SBJK, kami faham kalau membesar tanpa pendidikan lambat laun mereka akan kembali menjadi gelandangan,” katanya.

Turut mengambil bahagian dalam usaha murni ini ialah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Yayasan EMKAY, DRB Hicom, Buku Jalanan Chow Kit, KRT Chow Kit dan Raja Bot, Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur, Telekom Malaysia Berhad, Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Yayasan Semesta Berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:06 AM