LOVEMARK (kanan) dan List kongsi pendahulu kejohanan Klasik Honda.
LOVEMARK (kanan) dan List kongsi pendahulu kejohanan Klasik Honda.
Reuters

FLORIDA: Luke List dan Jamie Lovemark berkongsi kedudukan sebagai pendahulu dengan satu pukulan di kejohanan Klasik Honda hari ini ketika Tiger Woods melakukan kesilapan saat akhir yang menyebabkannya ketinggalan empat pukulan apabila mencatat satu di atas par 71.

Kedua-dua mereka mendahului pusingan kedua dengan tiga di bawah par 137 keseluruhan dengan Woods masih terus bersaing sengit dengan kelompok pendahulu biarpun mensia-siakan tiga pukulan untuk dua lubang pada sembilan lubang terakhir di PGA National di Palm Beach Gardens, Florida.

“Dua hayunan yang teruk dan saya rugi tiga pukulan,” kata juara kejohanan utama 14 kali itu selepas mencatat double bogey di lubang ke-15 disusuli bogey pada lubang berikutnya.

Bagaimanapun bekas juara dunia berusia 42 tahun itu mencatat birdie pada lubang ke-17 dan menamatkan saingan hari itu dengan par untuk berkongsi tangga ke-14 dalam kejohanan ketiganya tahun ini sebaik membuat kemunculan semula selepas pembedahan belakang tahun lalu.

“Ia ujian yang getir,” kata Woods yang turut mencatat dua birdie dan satu bogey pada sembilan lubang pertama untuk mencatat satu di atas par 141 keseluruhan selepas 36 lubang dalam suasana yang begitu mencabar terutamanya di green.

“Semuanya baik. Saya rasa cukup mantap. Saya membuat pukulan yang baik di green kecuali ketika melakukan pukulan putt di lubang ke-16.”

List mencatat lima birdie untuk empat di bawah par 66 dan mendahului saingan dengan jumlah pukulan terendah hari itu selepas memulakannya dengan satu di atas par 71 kelmarin.

“Hanya satu bogey,” kata List. “Saya berpuas hati dengan corak permainan saya. Beberpa par dan kemudiannya terus bertahan.”

Rakan senegaranya dari Amerika Syarikat Lovemark kemudiannya melakukan 69 pukulan untuk berkongsi kedudukan selaku pendahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:23 AM