BINGUNG kerana masih dilabel tidak berdisiplin.
BINGUNG kerana masih dilabel tidak berdisiplin.
Oleh Wahi Aziz


Sudah lebih lima tahun pelakon berbakat besar Syazwan Zulkifly berkecimpung dalam bidang lakonan.

Ironinya, bakat jejaka ini jarang menjadi bualan, sebaliknya apa yang sering digembar-gemburkan ialah mengenai dakwaan dia tidak berdisiplin.

Menurut Syazwan, biarpun puluhan kali membuat penafian dan menyangkal dakwaan itu, isu sama masih berulang.

“Entahlah, saya tidak tahu apa hendak dijelaskan lagi. Berapa kali pun saya jelaskan dakwaan itu, ia seperti sudah sebati walaupun kesahihannya menyimpang jauh.

“Saya cuba yakinkan semua orang bahawa dakwaan itu hanya persepsi pihak tertentu yang disebar berulang kali hingga ia jadi seperti perkara yang sahih,” katanya.

Bagaimanapun, Syazwan beruntung kerana masih mendapat kepercayaan penerbit drama televisyen dan filem walaupun dia terus diasak isu terbabit.

“Kalau betul saya tidak berdisiplin, sudah tentu saya tidak mendapat peluang dan tawaran daripada pelbagai produksi.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki berlakon masuk macam biasa. Jadi di mana kebenaran di sebalik tuduhan itu?,” katanya.

Sehubungan itu, Syazwan yang baru muncul dengan filem Gamatisme ini berharap tuduhan dan persepsi itu tidak lagi berulang.

“Orang yang tahu kerja saya mereka akan senang untuk terus bekerja dengan saya. Saya harap hal ini jangan diperkatakan atau diungkit lagi sebab saya menghormati amanah yang menjadi periuk nasi saya ini.

“Jadi tak mungkin saya mahu cemarkan rezeki saya dengan sikap tidak bertanggungjawab seperti yang didakwa itu,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai filem Gamatisme, Syazwan berkata, dia menyukai watak Haris dalam naskhah seram itu kerana tiga faktor.

“Pertamanya saya suka dengan idea dan cara arahan daripada abang Hitler Zami yang tersendiri. Ini kali kedua saya bekerja di bawah arahannya.

“Watak Haris iaitu seorang pelukis memang pertama kali saya dapat, jadi ia cukup menarik untuk diterjemahkan. Yang ketiga tentunya kerana filem ini menampilkan Nabila Huda yang semua sedia maklum seorang pelakon yang kuat lakonannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:37 PM