ANTARA aksi mencuit hati dalam Bo-Peng.
ANTARA aksi mencuit hati dalam Bo-Peng.
BABAK mencabar buat Zulin adalah ketika berada dalam but kereta.
BABAK mencabar buat Zulin adalah ketika berada dalam but kereta.
ANTARA babak yang dilakonkan Nabil dan Johan.
ANTARA babak yang dilakonkan Nabil dan Johan.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas Gamatisme, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd kembali dengan buah tangan keempat berjudul Bo-Peng arahan Helmi Yusof.

Bo-Peng membariskan Nabil Ahmad dan Johan As’ari sebagai teraju utama dan dibantu Zulin Aziz, Sofi Jikan, Fauzi Nawawi serta ramai lagi.

Lari daripada kebiasaan karya komedi tempatan, Bo-Peng memaparkan konsep komedi suspens yang membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang tayangan.

Bagi Nabil yang memegang peranan sebagai Bo, tayangan filem ini cukup dinanti memandangkan sudah lama wajahnya tidak menghiasi layar perak.

“Berikutan sibuk dengan bidang pengacaraan saya sudah lama tidak beraksi dalam filem. Diharap kehadiran Bo-Peng sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Sementara itu, Johan yang sebelum ini sering menjayakan watak berat tampil berbeza menerusi karakter Peng.

Baginya, karya ini satu pencapaian baru apabila mencuba nasib sebagai pelakon komedi.

“Selalunya, watak lakonan saya banyak bermain dengan emosi. Bo-Peng adalah percubaan pertama saya membawakan watak komedi.

“Ternyata ia tidak semudah disangka kerana saya bukan pelawak. Meskipun berasa gementar, saya teruja dapat bergandingan dengan Nabil yang terkenal dengan lawak bersahaja,” katanya.

Zulin Aziz juga tidak kurang hebatnya apabila melakonkan watak Mira Edora Senrose. Antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan Zulin, dia terpaksa berada di dalam but kereta selama beberapa jam bagi menjayakan karakter itu.

“Penggambaran babak dalam but kereta mengambil masa beberapa hari dan ia cabaran besar bagi saya sebagai pelakon. Ruang yang sempit itu mengehadkan pergerakan saya dan kalau tidak terima tawaran ini, tak mungkin saya dapat rasa pengalaman ‘diculik’ dan disimpan dalam but kereta,” katanya.

Tambah Zulin, dia tidak sabar melihat reaksi penonton terhadap lakonannya dan berharap ramai berpuas hati.

“Ketika beraksi depan kamera, saya tak pernah fikir soal imej, muka dan penampilan di skrin nanti. Ia penting bagi menjayakan watak ini.

“Bagi saya Bo-Peng bukan sekadar wadah hiburan kerana ia turut menyelitkan mesej positif mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Filem ini sesuai ditonton seisi keluarga,” katanya.

Helmi Yusof yang sebelum ini mengarahkan filem Bikers Kental dan Bikers Kental 2 berkata, proses penggambaran berjalan lancar apabila semua pelakon komited dan kreatif menghidupkan watak yang diberikan.

“Mudah bekerja dengan semua pelakon filem ini. Saya cuma berikan sedikit taklimat mengenai apa yang saya mahu dan biarkan mereka mencorakkan karakter itu sendiri.

“Mana yang kurang saya akan beri idea untuk ditambah baik dan sekiranya berlebihan, saya akan cuba kurangkan apa yang patut. Apa yang pasti, sebagai pengarah saya tidak mahu menyekat kreativiti mereka,” katanya.

Bo-Peng mengisahkan rakan karib, Bo dan Peng yang bekerja di kedai piza. Peng berkenalan dengan gadis bernama Mira Edora Senrose.

Suatu hari, Mira diculik penjenayah yang menjual organ secara haram. Demi menyelamatkan Mira, Bo dan Peng menjejaki penculik itu dan terpaksa berdepan pelbagai insiden.

Filem yang menelan kos RM1.4 juta itu menjalani penggambaran 16 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Tanjung Karang.

Bo-Peng bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Disember ini dan pastinya akan membuatkan penonton tidak kering gusi dengan pelbagai paparan aksi menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:00 AM