Oleh Rudy Imran Shamsudin


Ada wanita sangat berwaspada untuk tidak melakukan aktiviti lasak dan bekerja kuat ketika tempoh awal mengandung kerana khuatirkan keguguran.

Bagaimanapun berbeza dengan pelakon yang kini bergelar pengacara, Fouziah Gous dilihat langsung tidak bimbang dengan keadaan dirinya yang kini berbadan dua.

Fouziah atau Nor Fouziah Mohd Gous yang bernikah dengan ahli perniagaan, Md Zafran akhir 2013, disahkan mengandung selepas menjalani pemeriksaan sebanyak empat kali.

Mengejutkan dalam keadaan awal mengandung, Fouziah bercuti bersama suami ke luar negara dan sebaik pulang, terus menyambung kerja menjayakan program Nona.

Baru-baru ini Fouziah juga terbabit dengan pertunjukan fesyan koleksi terbaru Cosry Blanc And Noir Raya 2015. Melihat dia beraksi di pentas peragaan dengan berkasut tumit tinggi menimbulkan rasa seriau.

Sebaliknya, Fouziah yang ditemui sebaik acara selesai mengakui langsung tidak risau untuk berlasak badan. Katanya, apa juga yang dilakukannya sudah mendapat khidmat nasihat dari doktor terlebih dulu.

“Memang terasalah perut bergegar apabila bertumit tinggi dan berjalan di pentas peragaan tapi mungkin sebab kandungan masih baru dan belum serasi lagi.

“Bagaimanpun, paling penting apa juga yang dilakukan, saya sudah mendapatkan pandangan doktor. Malah doktor menasihatkan saya supaya tidak terlalu memanjakan badan apabila mengandung. Cuma pada waktu sama, saya harus berhati-hati,” katanya.

Mengenai percutiannya ke luar negara, ramai mengatakan ia tidak bagus untuk wanita awal mengandung menaiki pesawat kerana bimbang tekanan udara akan memberi kesan pada bakal ibu.

Bagaimanapun kata Fouziah, doktor menjelaskan perkara itu tidak benar. Keguguran berlaku bukan disebabkan tekanan udara.

“Sejak mengandung, memang banyak perkara yang saya dengar sebelum ini seperti tidak boleh makan itu dan ini juga tidak benar. Kata doktor, perkara seperti itu mengarut,” katanya.

Fouziah juga akui pelbagai aktiviti lasak dilakukan sebelum ini termasuklah senaman tekan tubi dan ‘sit-up’ membuatkan dia tidak merasai sebarang perubahan atau gangguan pada kesihatan tubuhnya walaupun waktu itu sudah mengandung tetapi tidak tahu dia berbadan dua.

Mengenai perancangannya terutama membabitkan kerjaya seni apabila berbadan dua, kata Fouziah dia akan meneruskan apa yang dilakukan sebelum ini dan tiada niat mahu berhenti demi menjaga kandungan.

“Kalau hendak ikutkan, sejak berkahwin saya tidaklah terlalu aktif berlakon dan kalau ada pun tawaran saya pilih dan tengok watak. Saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerjaya baru sebagai pengacara Nona.

“Penerbit juga sudah saya maklumkan lebih awal mengenai kandungan ini dan mereka me­nyambut baik. Dalam waktu sama, tidak ada pula mereka memberi kata putus mahu memberhentikan khidmat saya,” katanya.

Selagi terdaya, kata Fouziah, dia tetap memberikan komitmennya kepada produksi Nona. Malah ia akan menjadi sejarah untuk program Nona apabila buat kali pertama menampilkan pengacara sarat mengandung.

“Setakat ini saya akui perasaan mahu berehat itu sudah ada. Sebab itu juga saya mengurangkan aktiviti lakonan. Bagaimanapun pada waktu sama, saya tidak mahu memanjakan badan apabila mengandung dan malas bekerja.

“Begitupun, saya hanya akan lakukan perkara yang saya mahukan. Saya turut merancang masa depan dengan memberikan tumpuan kepada perniagaan yang saya lakukan dan selepas ini apabila sudah melahirkan, saya mahu memberikan tumpuan kepada keluarga, kerjaya pengacaraan dan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:07 AM