Sudirman Mohd Tahir

KEMUNCULAN Raysha Rizrose dalam drama Cindai yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini memberi warna berbeza dalam kanvas seninya.

Raysha yang sebelum ini sering melakonkan watak baik dilihat sudah berani keluar dari zon selesa lakonan.

Lebih manis apabila watak Yasmin yang dilakonkan Raysha, 24, atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz itu mendapat pujian ramai disebabkan kualiti lakonan yang ditampilkan.

Disebabkan itu juga, ramai mula buka mata dengan bakat dimiliki Raysha terutama pihak yang sebelum ini meragui kemampuannya.

Raysha yang mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 mengakui sedar dengan maklum balas dan penerimaan orang terhadap dirinya kini.

RAYSHA bersama dua kakaknya, Uqasha (kiri) dan Nelydia Senrose.
RAYSHA bersama dua kakaknya, Uqasha (kiri) dan Nelydia Senrose.

“Alhamdulillah, saya sedar. Namun selalu ingatkan diri untuk tidak terus terleka dengan pujian. Diakui terlalu banyak kelemahan yang masih perlu diperbaiki dalam diri dan lakonan. Pujian yang diberikan akan terus dijadikan semangat untuk jadi yang lebih baik, insya-Allah.

“Bagi saya, setiap hari ada proses pembelajaran untuk saya. Apa saja naskhah yang diterima saya cuba berikan yang terbaik. Malah, dari semasa ke semasa saya tidak pernah putus asa untuk memperbaiki kelemahan,”

katanya.

Tuah buat Raysha juga apabila pembabitannya dalam drama terbitan JS Pictures itu mendapat perhatian penerbit, Fadzil Teh dari Zeel Production untuk menawarkannya berlakon dalam filem Seandainya Kau Ada.

Raysha dipilih bagi melakonkan watak utama dan bergandingan dengan pelakon, Fendy Bakry dan Ruhainies.

“Pada mulanya memang risau sebab tidak banyak masa untuk meneliti skrip, namun saya ambil langkah untuk mencabar diri sekali gus belajar daripada orang lama seperti ibu Fauziah Nawi.

“Saya tidak mahu persiakan tawaran diberikan kerana ini adalah peluang. Malah, saya berterima kasih kepada pihak penerbitan kerana memberi kepercayaan dan memilih saya selaku watak utama,” katanya.

Menurut Raysha, dia seronok sepanjang penggambaran yang dijalankan di Perlis dan Uzbekistan.

“Secara keseluruhan saya memang seronok sebab suasana set penggambaran dan pelakon yang ‘best’.

“Masing-masing saling membantu satu sama lain terutama apabila bekerja di bawah produksi Zeel memang tidak tertekan langsung. Kami tetap fokus dan serius apabila membabitkan kerja,” katanya.

RAYSHA Rizrose
RAYSHA Rizrose

Berhati-hati untuk elak kontroversi

Berbanding dua kakaknya iaitu Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose, boleh dikatakan Raysha kurang cerita sensasi.

Bagi Raysha, apa yang penting adalah sentiasa berhati-hati supaya tidak terpaut dengan kontroversi.

“Sudah tentunya bukan kerana saya tak pernah buat salah. Saya percaya tiada sebab lain melainkan Allah yang masih menjaga aib diri. Alhamdulillah.

“Dalam masa sama, saya sering mengingatkan diri supaya sentiasa berhati-hati agar tidak terpaut dengan kontroversi,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan kekasih hati yang juga pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffti, Raysha jarang berkongsi perkara itu dengan umum.

“Sejujurnya, saya enggan berkongsi soal peribadi. Saya tidak suka berkongsi perkara yang tak penting bagi mengelakkan perkara yang tidak patut.

“Saya tidak pernah berahsia atau menyembunyikan saya ada kekasih, tapi dalam masa sama saya tidak berasa ia perlu dikongsi kepada umum sepanjang masa sebelum dia menjadi suami yang sah.

“Apa pun, doakan saja yang terbaik dan saya percaya

pada jodoh dan ketentuan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:00 AM