AMMAR ambil kisah lalu sebagai pengajaran.
AMMAR ambil kisah lalu sebagai pengajaran.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Agak perit juga apabila proses kemaafan yang ditagih daripada semua pihak memakan masa agak lama sebelum keadaan kembali pulih seperti biasa.

Itu situasi yang dilalui pelakon dan model, Ammar Alfian Azizi, 27, yang pernah terlanjur kata-kata dengan pihak media sebelum ini sehingga ‘dipulaukan’ hampir empat tahun.

Pelakon berbadan ‘sado’ yang popular menerusi drama Tari Tirana ini mengakui lega kerana krisis yang dilalui kembali jernih. Malah, dia gembira kerana kembali mendapat kepercayaan pelbagai pihak terutama penerbit drama.

“Alhamdulillah banyak tawaran yang datang dan terbaru saya berlakon drama Puteri Gunung Ledang- Aku Telah Jatuh Cinta, Eksperimen Cinta dan Abang Sado Kau Ado.

“Saya juga bakal berlakon filem Langit Cinta arahan Osman Ali dan ini sesuatu yang sangat membanggakan. Saya kini berlakon sepenuh masa dan perniagaan produk kesihatan dah diserahkan sepenuhnya kepada rakan kongsi,” katanya.

Ammar berkata, sebelum ini dia hanya terbabit secara main-main dan bukan serius dalam lakonan kerana tidak mendapat restu ibunya.

“Dulu ibu tak beri kerana dengar pelbagai cerita negatif pada saya. Mungkin silap saya juga kerana ikutkan perasaan. Darah mudalah katakan. Sekarang saya nak buktikan kepada semua orang yang saya bukan seteruk itu.

“Saya minta ibu beri peluang kedua kepada saya. Kalau ditanya perasaan saya, sedikit pun saya tak menyesal kerana sekurang-kurangnya saya buat salah dan ambil apa yang berlaku sebagai pengajaran.

“Biar saya kena hentam teruk dulu kerana saya menyertai industri hiburan dengan tangan kosong tanpa tahu apa-apa. Apabila dah berlaku peristiwa itu, baru saya sedar saya berada dalam lingkungan budaya Melayu,” katanya.

Menurutnya, mungkin caranya dibesarkan menjadikan dia suka bercakap secara terbuka sedangkan pada orang lain ia nampak salah.

“Saya nafikan bersikap panas baran kerana saya suka bercakap sesuatu yang dirasakan betul. Cuma, macam saya cakap tadi penerimaan masyarakat kita tak sama.

“Apapun saya dah lupakan semua peristiwa itu. Saya tak kisah kena bina semula nama dalam bidang seni kerana semua yang berlaku ada hikmahnya. Terlalu banyak pengajaran yang saya ambil,” jelasnya.

Elak cari pasal

Sebagai pelakon Ammar gembira apabila ditawarkan watak berbeza dalam lakonannya. Dia banyak terbabit dengan produksi A Aida Production dan bersyukur kerana penerbit ini mengiktiraf bakatnya.

“Syukur kak Aida suka dengan lakonan saya. Daripada satu drama, dia tawarkan saya berlakon drama lain pula. Saya balas kepercayaan yang diberikan dengan mempamerkan kualiti lakonan yang baik.

“Saya juga sentiasa menjaga masa supaya tak menyusahkan orang lain. Sememangnya saya komited supaya semua orang menyenangi saya,”katanya.

Ammar kini berfikir positif dalam kehidupan. Malah, laman sosial Instagram miliknya kini banyak memaparkan perkembangan karier berbanding cerita peribadi seperti sebelumnya.

“Bersyukur kerana perjalanan karier saya semakin baik. Cuma saya elakkan berlakon dengan satu produksi ini kerana tak nak timbulkan kontroversi.

“Saya tiada masalah dengan penerbitnya, tapi kurang senang dengan kata-kata menyakitkan yang dikeluarkan pihak lain. Jadi saya buat keputusan ini kerana malas nak cetuskan kontroversi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:28 AM