AMMAR Alfian tidak lagi buang masa di kelab malam.
AMMAR Alfian tidak lagi buang masa di kelab malam.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Tindakan Ammar Alfian Aziz, 28, mengugut media satu ketika dulu meninggalkan kesan besar terhadap kerjaya­nya. Pelakon ini bukan saja dihentam teruk bahkan namanya terus sepi tanpa khabar berita.

Bagaimanapun, tahun lalu Ammar membuat kemunculan semula. Dengan semangat baru, pelakon drama Puteri Gunung Ledang (PGL-Aku Telah Jatuh Cinta) ini enggan menoleh ke belakang dan berusaha mengukuhkan semula namanya.

“Saya tak pernah menyesal dengan apa yang terjadi. Sebagai manusia kita tidak terlepas melakukan kesilapan.

“Saya mengaku banyak buat silap dan akan memastikan ia tidak berulang lagi.

“Kali ini saya mahu lebih serius dan fokus dalam kerjaya. Dulu saya banyak main tambahan pula masih remaja.

“Alhamdulillah ibu bapa tidak putus memberikan kata semangat. Restu dan doa mereka buat saya jadi lebih kuat,” katanya.

Ammar tidak melatah apabila segelintir pihak melabelnya ‘bad boy’ dan artis bermasalah. Tidak guna marah atau kesal kerana tanggapan manusia sukar diubah.

“Saya tidak boleh halang mereka bercakap mengenai saya. Biarlah mahu kata apa, penat nanti mereka akan berhenti dengan sendirinya.

“Apa yang penting bagi saya Allah, ibu bapa dan kawan-kawan tahu siapa saya,” katanya.

Ditanya apa antara perubahan yang dilakukan, Ammar berkata, dia tidak lagi mengunjungi kelab malam dan andai ada masa terluang dia akan ke gimnasium dan membaca buku di rumah.

“Saya tidak mahu buang masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah.

“Misi saya mahu mengukuhkan karier dan berlakon dengan bintang hebat seperti Eman Manan, Elly Suriaty, Erma Fatima dan Nasir Bilal Khan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dengan Datuk Rosyam Nor dan dia memang pelakon yang hebat.

“Selain itu saya teringin bekerjasama dengan pe­ngarah tersohor tanah air. Saya bertuah kerana dapat bekerja dengan Osman Ali dalam filem Langit Cinta dan berharap selepas ini akan dipanggil lagi,” katanya.

Beralih perihal peribadi, Ammar yang kembali solo mengesahkan rapat dengan pelakon Tasha Shila, namun itu tidak bermakna mereka ada hubungan istimewa seperti didakwa segelintir pihak.

“Terkejut juga apabila ada yang mendakwa saya dan Tasha ada hubungan istimewa apabila melihat kemesraan kami di sebuah majlis hiburan.

“Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan apa yang kita nampak. Saya dan Tasha sudah lama kenal dan kami rapat.

“Kami selalu berkongsi masalah, tetapi itu tidak bermakna kami bercinta. Hubungan kami tidak lebih daripada kawan,” katanya.

Mengulas perkembangan karier, Ammar baru sahaja selesai menjalani penggambaran semula drama PGL dan Bodyguard.

“Insya-Allah, September ini saya akan terbabit dengan penggambaran drama Hello Mr Perfect untuk slot Akasia TV2. Drama ini diterajui Fattah Amin dan Ruhainis.

“Alhamdulillah, saya berjaya meraih kembali kepercayaan penerbit dan stesen TV. Saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:09 PM