EKSTRAK semula jadi bantu kulit lebih segar, mulus dan bebas cela.
EKSTRAK semula jadi bantu kulit lebih segar, mulus dan bebas cela.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kulit kusam? Pupur. Kulit berbelang atau dua ton dek selaran suria? Juga pupur. Kulit berminyak? Berpupurlah. Boleh dikatakan apa jua masalah kecantikan yang diajukan rakan kepada penulis, majoritinya sama pupur.

Sejak lebih setahun lalu, budaya memakai pupur ini mula menular dalam rutin kecantikan diri. Selang tiga hari, pasti pupur yang dicari kerana ia mudah dan ringkas dengan hasil yang memberangsangkan.

Ditambah dengan peluang membeli pupur berjenama dan berteknologi tinggi pada harga lebih rendah secara borong kala melancong ke Korea Selatan dan Jepun, tabiat berpupur ini makin galak hingga ke satu tahap laci kecantikan di rumah penulis hampir 90 peratus dipenuhi pupur dari dua negara terbabit.

Masyarakat Asia khususnya golongan wanita di Jepun, China dan Mesir mempunyai sejarah yang panjang membabitkan amalan kecantikan ini.

Selain haruman dan sabun, pupur wajah dikenal pasti antara rutin kosmetik utama bagi wanita di negara terbabit sejak 6,000 tahun lalu.

Dikatakan Cleopatra menyapu putih telur di wajahnya sejurus bangun tidur. Ratu Mesir itu percaya lapisan nipis terhasil daripada putih telur yang kering itu dapat menjadikan kulit wajahnya lebih halus dan cerah, selain tampak lebih muda.

Cleopatra juga terkenal kerana cintanya pada ekstrak lidah buaya yang dijadikan sebagai topeng muka, malah dikatakan sering memakai pupur emas ketika tidur.

Rutin yang dilakukannya hampir setiap hari itulah dikatakan antara penggerak kepada teknik pupur yang kini popular dalam kalangan masyarakat dunia.

Justeru, apa signifikannya pupur atau topeng wajah ini dalam rutin harian setiap wanita? Pupur wajah dulunya jarang digunakan sebagai produk sendirian dalam rutin kecantikan wanita.

Bagaimanapun, topeng muka boleh menjadi elemen penting dalam pembersihan menyeluruh kulit muka sebagai persediaan untuk rawatan kulit yang lain.

Sebagai contoh, pupur boleh digunakan untuk membersih dan menyegarkan kulit sebelum bersolek. Pupur juga boleh digunakan untuk tujuan kesihatan dan perubatan seperti menenangkan kulit yang kemerahan disebabkan matahari, kesan pencemaran serta terdedah kepada cuaca ekstrem.

Dengan mengetahui pelbagai jenis pupur muka serta cara penggunaannya, ia boleh memberi impak dan hasil lebih baik dalam proses penjagaan kulit harian.

Ganjaran untuk wajah

Prinsip pemakaian satu pupur untuk tempoh singkat meliputi keseluruhan wajah ialah memisahkan udara dan pencemaran daripada kulit buat sementara waktu.

Rutin penjagaan wajah ini dapat membantu menyeimbangkan suhu kulit pada zon wajah, membuka liang roma untuk memudahkan pembersihan pori tersumbat, meningkatkan tahap metabolisme sel kulit dan menggalakkan rembesan kelenjar peluh agar ia dapat meningkatkan lagi kandungan oksigen pada kulit.

Pada masa sama, berpupur juga membantu perkumuhan sel epidermis yang mati, menyingkirkan buangan metabolik dan bahan berminyak dari kulit yang menjadi penyebab kepada liang roma tersumbat hingga menjadi habitat bagi bakteria buruk.

Kandungan air yang tinggi dalam pupur atau topeng muka pula akan menembusi lapisan epidermis kulit, sekali gus membantu melembutkan tekstur dan meningkatkan tahap keanjalannya.

Wujud bermacam jenis pupur era ini dan topeng wajah jenis hidrogel antara yang makin hangat di pasaran.

Pupur rangkaian Faith in Face dari Korea Selatan, misalnya, memperkenalkan topeng wajah 100 peratus hidrogel yang menjadi pilihan selebriti negara itu.

Tidak seperti lapisan pupur biasa yang dihasilkan daripada serat mikro atau kapas, pupur hidrogel ini mengandungi peratusan tinggi bahan larut air yang memberikan kelembapan maksimum sehingga 40 minit.

Selain itu, topeng wajah ini berupaya menurunkan suhu kulit sehingga 5 darjah Celsius (berdasarkan visual kajian kamera infra merah yang dijalankan iM1NE pada 2014), di samping merangsang betaglukan untuk menyegarkan wajah yang kelesuan.

Faith in Face turut percaya pada kekuatan bahan organik dan ekstrak semula jadi lalu digunakan secara meluas dalam setiap rangkaian pupurnya seperti kolagen sayuran, vitamin E dan asid hialuronik tanpa paraben atau minyak mineral.

Selain bebas ujian haiwan, rangkaian pupur hidrogel Faith in Face ini dirumus khas agar lembut pada kulit sambil mengurangkan risiko berlakunya sebarang tindak balas alahan.

“Faith in Face percaya semua wanita itu cantik dan unik. Disebabkan itulah kami ingin membantu wanita menyerlahkan kecantikan semula jadi mereka agar terus berkeyakinan tinggi.

“Walaupun bersolek mampu mengubah penampilan wajah, ia tidak kekal. Jadi kami ingin berkongsi dengan wanita cara yang lebih berkesan untuk menyerlahkan kecantikan mereka dari dalam.

“Pada masa sama, wujud permintaan tinggi untuk produk berkualiti yang memberikan hasil diingini dan boleh diperoleh pada harga berpatutan.

“Dan kami teruja berkongsi rangkaian penjagaan wajah menarik ini bersama wanita tempatan,” ujar Ivy Joo, Pengarah Eksekutif Whitedge Marketing Sdn Bhd yang memasarkan Faith in Face di Malaysia.

Diperkenalkan di Korea Selatan pada 2012 oleh sekumpulan pakar kosmetik terdiri daripada warga Korea Selatan, Britain dan Kanada, rangkaian pupur Faith in Face ini mensasarkan lima masalah kulit iaitu lembapan, pori, kurang anjal, kurang seri serta ton gelap yang tidak sekata.

Pupur After Shower Look mengandungi natrium PCA, natrium hialuronik dan minyak bunga kamelia yang membuatkan kulit lebih segar, lembap serta mulus selepas penggunaannya.

Pupur Black & White Film Star pula mengandungi niasin amide, ekstrak teh hijau dan sitrus unshiu untuk wajah yang lebih cerah serta bebas cela.

Bagi merangsang semula dan mengembalikan keanjalan kulit, pupur Hold Me Tight mungkin dapat membantu merealisasikan sasaran itu.

Pupur Miss Invisible Pore tertumpu kepada mengurangkan sebum atau penghasilan minyak dan mengecilkan pori.

Sementara pupur Nourish Me yang menggabungkan ekstrak brokoli, minyak zaitun dan seramida-3 membantu mengembalikan seri wajah pada kulit yang kusam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 12:52 PM