TOPENG mata Warm Spa ini membantu menyegar dan melegakan mata yang lesu hanya dalam 10 minit.
TOPENG mata Warm Spa ini membantu menyegar dan melegakan mata yang lesu hanya dalam 10 minit.
TOPENG mata Cute Eye disifatkan penyelesaian terbaik untuk masalah lingkaran gelap bawah mata.
TOPENG mata Cute Eye disifatkan penyelesaian terbaik untuk masalah lingkaran gelap bawah mata.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Kulit kusam? Pupur. Kulit berbelang atau dua ton dek selaran suria? Juga pupur. Kulit berminyak? Berpupurlah. Boleh dikatakan apa jua masalah kecantikan yang diajukan rakan kepada penulis, majoritinya sama - pupur.

Masyarakat Asia khususnya wanita di Jepun, China dan Mesir mempunyai sejarah yang panjang membabitkan amalan kecantikan ini.

Selain haruman dan sabun, pupur wajah dikenal pasti antara rutin kosmetik utama bagi wanita di negara terbabit sejak 6,000 tahun lalu.

Dikatakan Cleopatra menyapu putih telur di wajahnya sejurus bangun tidur. Ratu Mesir itu percaya lapisan nipis terhasil daripada putih telur yang kering dapat menjadikan kulit wajahnya lebih halus dan cerah, selain tampak lebih muda.

Cleopatra juga terkenal kerana cintanya pada ekstrak lidah buaya yang dijadikan sebagai topeng muka, malah dikatakan sering memakai pupur emas ketika tidur.

Rutin yang dilakukannya hampir setiap hari itulah dikatakan antara penggerak kepada teknik pupur yang kini popular dalam kalangan masyarakat dunia.

Signifikannya pupur atau topeng wajah ini dalam rutin harian setiap wanita menyaksikan pupur wajah yang dulunya jarang digunakan sebagai produk

sendirian dalam rutin kecantikan kini menjadi antara elemen penting dalam pembersihan menyeluruh kulit muka sebagai persediaan untuk rawatan kulit yang lain.

Sebagai contoh, pupur boleh digunakan untuk membersih dan menyegarkan kulit sebelum bersolek.

Pupur juga boleh digunakan untuk tujuan kesihatan dan perubatan seperti menenangkan kulit yang kemerahan disebabkan matahari, kesan pencemaran serta terdedah kepada cuaca ekstrem.

Dengan mengetahui pelbagai jenis pupur muka serta cara penggunaannya, ia boleh memberi impak dan hasil lebih baik dalam proses penjagaan kulit harian.

Atas populariti dan kelaziman itu, Guardian membawakan rangkaian pupur atau topeng muka bagi memenuhi keperluan wajah serta bahagian mata.

Dua koleksi topeng mata dan dua pupur muka baru diperkenalkan bagi membantu kulit kembali segar selepas seharian mengalami tekanan sekeliling.

Topeng mata Warm Spa dan Cute Eye dihasilkan dengan teknologi terkini yang membantu memperbaiki penampilan kontur mata.

Topeng Warm Spa membantu menyegarkan bahagian mata yang letih dengan memberi kesan hangat dan bebas haruman.

Ia bertindak dengan memanas secara sendiri dan berupaya menyegar serta melegakan mata yang lesu hanya dalam 10 minit.

Topeng Cute Eye pula diuji secara dermatologi bagi membantu meremajakan kulit sensitif di sekitar zon mata. Ia disifatkan penyelesaian terbaik untuk masalah lingkaran gelap bawah mata.

Topeng mata Cocoa Brightening, contohnya, dirumus dengan ekstrak koko dan daun Camellia bagi membantu menegangkan semula bahagian kontur mata agar lebih segar berseri.

Ia turut mengandungi pelbagai pati pelembap yang diperoleh darpada minyak zaitun dan asid hialuronat untuk menyerlahkan semula tarikan pada mata.

Khasiat alam untuk wajah

Sementara itu, rangkaian pupur Guardian menawarkan topeng wajah eksotik terdiri daripada rumusan ekstrak mukus siput dan kepompong atau kokun emas.

Koleksi topeng muka ini diuji secara dermatologi dan dapat membantu memberi kelegaan kepada kulit sensitif.

Selain itu, ia bertindak sebagai pelembap tambahan dan membantu mencerahkan wajah serta-merta.

Koleksi topeng muka ini dihasilkan daripada helaian selulosa TENCEL asli dan semula jadi iaitu sejenis serat selulosa berteknologi tinggi.

Helaian TENCEL ini menawarkan pengekalan lembapan tinggi agar pati kekal dalam lapisan kulit lalu ia dapat menyerap semua khasiat daripada cecair topeng muka itu.

Lapisan licin helaian TENCEL juga memberi kesan selembut sutera dengan keselesaan yang menenangkan minda.

Guardian tidak ketinggalan memperkenalkan pupur wajah 3D Hydrogel dalam pilihan berbeza - pelembap dan pencerah.

Sesuai untuk kulit kering, pupur wajah tiga dimensi ini memberi kesan lembapan tahan lama, menghalus dan memperbaiki kulit.

Pada masa sama, Guardian berusaha membantu mengatasu masalah pori dan bintik hitam yang dialami kebanyakan wanita berpunca daripada pencemaran serta jerebu yang dialami negara ketika ini.

Kehadiran bintik hitam pada hidung dan sekitarnya terbentuk akibat pengoksidaan minyak serta sel kulit mati yang terperangkap dalam pori-pori kulit.

Partikel halus yang terperangkap ini akan membentuk bintik hitam apabila terdedah kepada udara dan faktor luaran lain.

Biasanya diri cenderung untuk memicit bintik hitam itu dengan kuku hingga meninggalkan kesan parut di wajah.

Atas sebab itulah Guardian mengenal pasti beberapa bahan lalu digabung dalam satu produk pembersih pori yang disifatkan berupaya membantu wanita mengurangkan masalah terbabit.

Jalur pembersih pori minyak tea tree bertindak menghilangkan kotoran dan membersih pori secara mendalam.

Ia membantu menanggalkan bintik hitam dan kotoran degil pada kulit menerusi rumusan antibakterianya. Jalur ini turut diperkaya dengan witch hazel yang membantu mengecilkan pori.

Pek pembersih pori hidung 3-Langkah juga menarik untuk dicuba. Mengambil kaedah pembersih pori

yang popular di Korea Selatan, pek ini bukan saja membantu menanggalkan bintik hitam dan putih malah mengurangkan lebihan minyak serta menyingkirkan kotoran degil.

Helaian bio-selulosa yang digunakan sesuai untuk kulit sensitif dan memberikan kesan lembut pada kulit hidung selepas digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 8:34 AM