Status penceramah motivasi lelaki yang mengundang kemarahan dan sudah dipadamkan.
Status penceramah motivasi lelaki yang mengundang kemarahan dan sudah dipadamkan.
Oleh Riadz Radzi


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan rock terkenal Search, Amy, 57, kecewa dengan tindakan seorang penceramah motivasi lelaki melabelkan Search sebagai punca kepada keruntuhan moral segelintir belia di negara ini apabila mereka mengadakan persembahan di Festival Belia Putrajaya 2015 di Putrajaya, malam Ahad lalu.

Lelaki terbabit yang memuat naik status “Setelah bertahun-tahun negara sambut Hari Belia Negara, belia-belia kita menjadi semakin teruk kerana hantu-hantu macam ni yang menjadi pengisinya” di laman Facebook, Ahad lalu.

Tindakannya melabelkan Search sebagai ‘hantu’ bukan saja mengecewakan Amy dan Search, malah mengundang kecaman daripada peminat Search.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu semalam oleh seorang lagi anggota Search iaitu Nasir yang juga pemain bass.

“Sebagai penceramah motivasi, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan begitu. Kami menyertainya (Festival Belia) kerana kami menyokong program untuk belia. Kita saling tolong-menolong.

“Lagipun program itu mengetengahkan banyak aktiviti positif untuk belia. Kami bukannya nak jadikan mereka ‘hantu’,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Sementara itu, pakar motivasi terbabit memadamkan status kontroversi berkenaan awal pagi tadi selepas menerima ratusan komen mengecam tindakannya itu.

Katanya, dia mengambil keputusan memadamkan status di Facebook itu atas nasihat orang ramai.

“Semoga kita dapat 'move on' dengan agenda perjuangan masing-masing dan meneruskan tugas penciptaan kita di atas muka bumi ini, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.

Beliau kemudian turut memuat naik permohonan maaf kepada peminat Amy dan Search yang tersinggung dengan kenyataannya sebelum itu kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Dalam kenyataan itu, lelaki terbabit juga mendakwa sudah menghubungi pengurus Amy, Nourish Hassan yang juga isteri Amy dan akan berjumpa dengan Amy hari ini untuk meminta maaf.

Amy berkata, Nourish ada memaklumkan perkara itu kepadanya tetapi belum bersedia untuk berjumpa lelaki terbabit.

Sementara itu, Amy turut menitipkan kata-kata berikut dalam Instagramnya:

‘Kertas putih salju ku coretkan kedukaan ku

Hitam dn kelabu ada lah warna dlm hidup ku

Apa kah jika lagu2 yg ku syairkan itu dpt mengembira hati mereka dn di jadikan sebahgian perjlnan hidup mereka utk berjaya itu satu dosa? Jgn di hina belia2 itu kerna mereka itu sbahgian dri aku dn aku juga sbahgian dri mereka yg punya cita. Tutur kata seorng motivasi itu seharus nya indah lgi mulia’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 6:17 PM