KEPUASAN terpancar di wajah masing-masing selepas berjaya menawan ABC.
KEPUASAN terpancar di wajah masing-masing selepas berjaya menawan ABC.
AMY banyak mendapat galakan daripada isteri, Nourish.
AMY banyak mendapat galakan daripada isteri, Nourish.
Ridzuan Abdul Rahman


Usia bukan halangan untuk melakukan sesuatu yang mencabar. Asalkan ada keinginan dan keazaman yang tinggi ia bukanlah mustahil untuk dicapai.

Itulah yang dibuktikan penyanyi rock legenda, Amy Search, 60, yang berjaya menawan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal berketinggian 4,130 meter dari aras laut, baru-baru ini.

Amy turut disertai isterinya Norhasniza Hassan atau Nourish dan 24 peminat daripada pelbagai lapisan usia dari Malaysia serta Indonesia.

Amy berkata, kejayaan itu sesuatu yang manis untuk dikenang selepas hampir dua tahun merancang.

“Bukan mudah kerana persiapan rapi perlu dibuat membabitkan faktor fizikal, mental dan kesihatan.

“Ada jururawat yang sentiasa memantau kesihatan kami setiap masa bagi mengelak sebarang perkara yang tak diingini.

“Perjalanan kami bermula pada 7 April lalu dengan tidur satu malam di Kathmandu, Nepal. Awal pagi esoknya kami terus memulakan pendakian,” katanya.

Menurut Amy, untuk sampai ke ABC perlu mengambil masa selama empat hari, manakala untuk turun pula tiga hari.

“Sepanjang pendakian, kami akan berehat setiap empat jam. Nampak seperti santai tapi kami kena mendaki ke atas. Cuaca pula tak menentu kerana sekejap berangin, hujan dan semakin hampir di puncak, bersalji pula,” katanya.

Amy berkata, apabila hampir tiba di puncak, keadaan menjadi semakin sukar. Ini termasuk keletihan, mengantuk serta rasa mual.

Menurut Amy, ketika itu selera makannya sudah hilang dan kira-kira 200 meter menghampiri puncak, cuaca mula bersalji.

“Situasi ketika itu mula berbeza kerana ada yang muntah. Ada juga yang mengambil keputusan berpatah balik. Itu jalan selamat untuk mengelakkan perkara tak diingini.

“Saya sendiri terpaksa dipapah dalam jarak 100 meter menghampiri puncak. Jantung ketika itu berdegup kencang seperti baru lepas berlari. Oksigen yang makin berkurangan membawa kesan pada paru-paru.

“Kabus sangat tebal di puncak dan suhu amat sejuk. Namun, dengan kuasa Allah apabila tiba di puncak, kabus terkuak dan kelihatan cahaya matahari menyinar yang menampakkan warna keemasan. Emosi saya memang lain ketika itu,” katanya.

Amy dan kumpulannya puas kerana akhirnya berjaya menawan ABC pada 13 April lalu.

Keseluruhan pendakian ke ABC mengambil masa tujuh hari untuk naik dan turun yang bermula pada 7 April sebelum tamat pada 18 April lalu.

“Tak dinafikan banyak kenangan yang kami peroleh bersama dan saya masih tak puas untuk terus mendaki selepas ini.

“Saya bercadang mendaki Kem Pangkalan Everest di Nepal pula selepas ini. Ia juga mencabar tapi tak sama seperti mendaki ABC.

“Menariknya sepanjang pendakian ke ABC, kami dapat melihat cara hidup masyarakat di situ yang bergantung kepada pertanian. Kami juga buat kerja amal dengan menyumbang peralatan persekolahan seperti alat tulis serta makanan kepada pelajar di sebuah sekolah |daif yang menempatkan sekitar 15 pelajar berusia antara tiga hingga lima tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 4:50 AM