Aktres dan model, Kangana Ranaut pernah dikatakan bodoh apabila dia terima tawaran berlakon dalam filem The Dirty Picture dan Tanu Weds Manu Returns.

The Dirty Picture gagal di pasaran tetapi Tanu Weds Manu Returns berjaya mengembalikan maruah Kangana di layar perak bila mana baru dua hari filem itu ditayangkan di India, setiap waktu tayangan padat dengan penonton. Ia dalam filem sekuel Tanu Weds Manu yang diterbitkan pada 2011.

Kejayaan karektor Kangana dan heronya dalam filem itu, R Madhavan, memberi alasan yang cukup kuat untuk mengajak penonton memenuhi pagawam. Filem itu juga kini ditayangkan di Malaysia.

Menurut pengkritik filem di India, dengan aksi luar biasa Kangana yang pegang dua peranan dalam Tanu Weds Manu Returns, pasti tahun depan festival filem di India tertumpu kepadanya dan dengan yakin mereka berkata sudah tentu anugerah Pelakon Wanita Terbaik menjadi miliknya. Pun begitu dalam keterujaan segala pujian diberikan kepada Kangana, jangan lupa kepada lakonan mantap, Madhavan, Deepak Dobriyal, KK Raina dan Zeeshan Ayyub kerana setiap watak menyokong satu sama lain.

Dalam berkarya, Kangana berani mencuba dan mengambil risiko termasuk pembabitannya dalam filem Queen. Menerusi temu bualnya dengan Bollywoodlife.com, dia berkata, sesiapa pun tidak boleh selalu menang.

“Dalam apa jua urusan mesti ada kalah dan menang, untung dan rugi. Pun begitu saya akan terus mencuba pelbagai genre filem dan watak. Saya mendapat tawaran berlakon dengan bayaran lumayan daripada syarikat produksi besar tetapi saya sanggup tolak dan memilih berlakon dalam filem Queen yang berbajet kecil,” katanya.

Perkembangan lain, baru-baru ini juga Kangana menolak tawaran ratusan ribu ringgit sebagai duta produk pencerahan wajah.

“Saya tak faham dengan konsep pencerahan wajah dan saya juga tidak mahu memberikan contoh yang baik kepada remaja di luar sana. Saya tidak mahu mereka ada idea, hanya dengan memiliki kulit wajah cerahlah baru dikatakan cantik.

“Kakak saya, Rangoli, berkulit gelap tetapi dia tetap kelihatan cantik dan menawan. Sebab lain saya menolak tawaran itu kerana saya tidak mahu menghina kakak sendiri,” katanya.

Kangana juga mempunyai pendapat sendiri mengenai institusi perkahwinan. Baginya dia tidak akan berkahwin kerana terpaksa atau semata-mata untuk memenuhi peraturan hidup dalam masyarakat.

“Saya akan berkahwin apabila benar-benar bersedia dan bukan kerana dipaksa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:26 AM