Ravintharan  (kanan) bersama   Hong Peng (tengah) dan Kong Boon (kiri) di majlis  pelancaran kad prabayar Maybank MOTAC Visa di Menara Maybank, Kuala Lumpur, semalam.
Ravintharan (kanan) bersama Hong Peng (tengah) dan Kong Boon (kiri) di majlis pelancaran kad prabayar Maybank MOTAC Visa di Menara Maybank, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) bekerjasama dengan Visa serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menawarkan kad Visa prabayar, Maybank MOTAC untuk pelancong dengan pengeluaran terhad 10,000 keping pada tahun ini.

Kad prabayar itu berfungsi sebagai platform pembayaran untuk membeli-belah lebih 40,000 jenama tempatan dan asing bagi membantu pengguna yang tidak membawa wang tunai yang banyak ketika melancong.

Ketua Bahagian Kad dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Ravintharan Balakrishnan berkata, pengenalan kad itu membantu Maybank untuk mengukuhkan penguasaan pasarannya dalam segmen kad membabitkan 20 peratus bagi kad kredit, 20 peratus untuk pembayaran dan 40 peratus lagi perniagaan.

Beliau berkata, dari segi prestasi peningkatan kad kredit dan debit diunjurkan mampu meningkat pada dua angka pada tahun ini walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

“Kad prabayar Maybank MOTAC Visa mempunyai perbezaan dengan debit kad antaranya pengguna tidak perlu membuka akaun bank bagi membolehkan penggunaannya dan hanya boleh digunakan dalam tempoh tujuh tahun serta mempunyai reka bentuk edisi khas bertemakan pelancongan Malaysia.

“Pengguna juga boleh membuat pengeluaran wang mereka di mesin juruwang automatik (ATM) dan membuat urusan tambah nilai pada Maybank2u dan juga di mana-mana cawangan kami,” katanya pada pelancaran kad itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Dr On Hong Peng dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Ravintharan berkata, pemegang kad itu juga tidak dikenakan sebarang caj pengurusan dan membolehkan pengguna menggunakan wang di dalamnya secara maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 9:22 AM