Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Asma adalah satu keadaan serius yang dialami lebih 70 juta orang di Asia. Risiko serangan mendadak, kemasukan hospital dan kematian meningkat dalam kalangan pesakit berlaku kepada mereka yang tidak menguruskan asma dengan baik.

Malah, asma yang tidak diurus dengan baik juga boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dan aktiviti harian mereka. Asma adalah satu gangguan keradangan kronik (jangka panjang) saluran udara yang menyebabkan pesakit sukar bernafas dan berdehit, sesak dada serta batuk.

Kira-kira 235 juta orang di seluruh dunia menghidap asma dan angka ini terus meningkat sekali gus menimbulkan kebimbangan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Di Malaysia saja, dianggarkan 3.4 peratus penduduk menghidap penyakit ini dan menjejaskan kualiti hidup ramai pesakit. Lebih memburukkan keadaan masalah berkenaan turut meningkatkan risiko kematian disebabkan kegagalan me­ngambil ubat seperti yang diarahkan dan tidak mengurus gejala yang dialami.

Menurut Perunding Kanan Dada dan Pengarah Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur, Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, walaupun tiada sebab yang khusus diketahui untuk penyakit asma, kebanyakan kajian yang dilakukan melaporkan faktor genetik dan persekitaran seperti asap boleh menjadi punca berlakunya masalah berkenaan.

“Sebab utama masih tidak diketahui namun semua penghidap mempunyai persamaan yang sama iaitu keradangan saluran pernafasan yang kronik.

“Saluran pernafasan pesakit sangat sensitif kepada pelbagai sebab. Jika terdapat faktor yang boleh menyebabkan asma berlaku, salur pernafasan akan menjadi radang (mengandungi lendir, bengkak dan sempit).

“Seterusnya otot yang berhubung dengan saluran pernafasan ini menjadi lebih sempit daripada biasa. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas dan boleh menyebabkan serangan asma.

“Apabila terdedah kepada rangsangan atau faktor pencetus, salur pernafasan menjadi sempit dan ini me­nyebabkan kesukaran bernafas. Tahap serangan asma berubah mengikut masa bergantung kepada pendedahan terhadap pencetus dan ubat kawalan asma,” katanya.

Gejala asma

Apabila individu itu disahkan mendapat asma, doktor akan bertanya me­ngenai sejarah perubatan termasuk mengalami gejala yang kerap, melakukan ujian fizikal dan pemeriksaan fungsi paru-paru.

Antara tanda dan gejala asma ialah:

1. Batuk. Kebiasaannya, batuk pesakit asma lebih teruk di waktu malam dan awal pagi menyebabkan individu itu mengalami kesukaran untuk mendapatkan tidur yang lena.

2. Nafas berdehit yang akan dikeluarkan ketika pesakit bernafas.

3. Dada berasa sempit. Pesakit akan berasa dada mereka berat atau sempit seolah-olah tersepit dan ada objek di atas dada mereka.

4. Nafas pendek. Ada sesetengah pesakit yang mempunyai asma berasa seperti tidak boleh bernafas atau kehabisan udara menyebabkan mereka tercungap-cungap.

Selain itu, ada juga pencetus yang menyebabkan gejala asma bertambah teruk antaranya ialah alahan kepada habuk, bulu binatang, lipas, kulapuk dan debunga.

Bukan itu saja, iritasi seperti asap rokok, pencemaran udara, bahan kimia atau habuk di tempat kerja, sebatian di dalam produk hiasan rumah dan penyembur.

Malah, ada juga asma bertambah buruk apabila berlaku pendedahan kepada udara sejuk atau perubahan suhu secara tiba-tiba selain tekanan.

Ada juga ubat yang menjadi pencetus kepada gejala asma bertambah teruk iaitu aspirin atau ubat antiradang bukan steroid (NSAID) lain.

Jika masalah asma yang dihidapi tidak diurus dengan baik, gejala yang dialami akan bertambah teruk dan menyebabkan ia lebih sukar dikawal.

“Di Malaysia, pesakit kurang mengambil serius me­ngenai penyakit asma yang dialami. Mereka percaya asma yang dihidapi masih dalam keadaan terkawal hingga mengabaikan pengambilan ubat bagi mencegah serangan teruk asma daripada berlaku.

“Pesakit juga kurang memberi perhatian kepada gejala penyakit apabila keadaan asma dialami dirasakan tidak teruk dan ini memberi kesan kepada kehidupan seharian termasuk termasuk prestasi kerja atau sekolah,” katanya.

Ujarnya, pesakit boleh belajar untuk menguruskan keadaan mereka lebih baik kerana ini akan memberi kesan positif ke atas kualiti hidup dalam jangka masa panjang.

Pada masa sama, mereka hendaklah berbincang dengan doktor mengenai usaha bagi menambah baik kawalan penyakit asma bagi mengelakkan serangan asma yang lebih teruk.

Walaupun banyak kajian sudah dijalankan dan pelbagai program pendidikan dilaksanakan, bilangan pesakit yang disifatkan sebagai tidak dapat mengawal penyakit mereka tetap sama.

Pengurusan asma

Terdapat beberapa pilihan sesuai untuk mena­ngani asma. Ubat asma yang disarankan oleh doktor memainkan peranan penting untuk menguruskan tanda dan gejala yang dialami pesakit, namun ramai menganggap ia menyusahkan.

Kebiasaannya, pesakit asma akan diberi pilihan rawatan mengikut tahap serius masalah yang dihadapi seperti:

1. Ubat sedut (pengawal). Kebiasaannya, diambil dua kali sehari bagi mencegah gejala asma dalam jangka masa panjang. Ubat pengawal termasuk kortikosteroid (jenis ubat utama) yang membantu mengurang­kan keradangan pada salur pernafasan.

2. Ubat sedut (pelega) atau lebih dikenali sebagai bronkodilator. Ia hanya membantu menenangkan dan membuka saluran pernafasan selain bertindak dengan pantas memberi kelegaan segera kepada pesakit.

Penghidap asma perlu mengikut pelan tindakan doktor sebagai langkah berjaga-jaga untuk bersedia menghadapi ancaman serangan asma.

Berdasarkan panduan dikeluarkan pengamal perubatan, asma terkawal dalam kalangan pesakit boleh dilihat jika mereka boleh melakukan sebarang aktiviti tanpa halangan dan tiada gejala di malam hari seperti terjaga.

Selain itu, mereka juga disarankan mengambil ubat pelega dua kali atau kurang dalam seminggu dan fungsi paru-paru yang normal.

Ujarnya, pengetahuan mengenai lelah di negara ini masih rendah terutama di kawasan luar bandar kerana menganggap penyakit dialami itu tidak perlu diberi perhatian.

“Tahap kesedaran pesakit di kawasan luar bandar masih rendah sekali gus tidak mengambil berat mengenai masalah lelah yang dihadapi sekali gus mengabaikan rawatan yang perlu diambil.

“Kadangkala mereka memberi alasan tidak mempunyai wang untuk membeli ubat yang mahal, namun pesakit juga enggan mendapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik terdekat.

“Pesakit perlu faham, asma adalah penyakit sepanjang hayat dan tiada penawar. Perkara yang penting ialah pesakit perlu tahu mengurus dan mengawal penyakit yang dialami,” katanya.

Tinjau selidik pengurusan asma

Hasil kaji selidik seluruh Asia menunjukkan terdapat persepsi baru mengenai tanggapan pesakit terhadap kawalan ke atas penyakit asma mereka.

Hasil tinjau selidik Recognise Asthma and Link to Symptoms and Experience Asia (REALISE) menunjukkan pesakit kurang faham mengenai keadaan kesihatan mereka dan definisi pengurusan asma.

Sungguhpun sembilan daripada 10 pesakit me­nganggap diri mereka dapat mengawal penyakit asma dialami, hanya 28 peratus benar-benar terkawal berasaskan garis panduan klinikal.

Pesakit lebih cenderung mengaitkan kawalan asma kepada pengurusan bukan pencegahan. Menurut hasil tinjau selidik terbabit, 93 peratus daripada responden Malaysia tidak menganggap asma mereka serius dan 79 peratus percaya boleh menguruskan masalah berkenaan tanpa bantuan doktor.

Akibatnya, separuh responden mendapati penggunaan ubat sedut (inhaler) menyusahkan dan 41 peratus daripada pesakit tidak melihat keperluan untuk mengambil ubat secara tetap memandangkan mereka tidak mengalami gejala penyakit atau serangan asma.

Hasil tinjau selidik itu membuktikan bahawa pesakit asma terus menanggung beban penyakit asma yang dialami. Sebanyak 92 peratus masih mengalami gejala yang membimbangkan termasuk kesukaran bernafas, batuk, berdehit dan sesak dada.

Gejala ini sedikit seba­nyak menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti kerja mereka. Sepanjang tahun lalu, 62 peratus daripada responden Malaysia tidak dapat tidur pada waktu malam disebabkan gejala asma dan 40 peratus memerlukan rawatan di hospital.

Dua pertiga daripada pesakit terpaksa mengambil cuti bekerja atau sekolah sekurang-kurangnya sehari manakala satu perlima daripada responden mengambil cuti seminggu.

injau selidik REALISE adalah tajaan Mundipharma yang dirangka bersama Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada pakar respiratori membabitkan 2,467 penghidap asma berumur 18 hingga 50 tahun di lapan negara Asia termasuk 151 responden dari Malaysia.

Menurut Pengurus Negara bagi Mundipharma Malaysia, Hans Kim, walaupun banyak kajian dijalankan dan pelbagai program pendidikan dilaksanakan, bilangan pesakit yang disifatkan sebagai tidak dapat mengawal penyakit mereka tetap sama.

“Terdapat jurang antara kepercayaan pesakit me­ngenai kawalan asma yang mencukupi dan benar-benar boleh dicapai. Namun begitu menyedihkan apabila mereka tidak dapat mengecapi perkara yang penting dalam hidup kerana terpaksa berdepan serangan tidak dijangka.

“Melalui hasil kajian ini, kami akan terus bekerjasama dengan pakar respiratori untuk menggalakkan pembangunan strategi dan alat pengurusan penyakit yang lebih baik dalam kalangan pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 12:31 PM