Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SEORANG pengadil mengalami sakit dada selepas diserang sekumpulan penyokong kerana didakwa terlewat meniupkan wisel penamat perlawanan bola sepak persahabatan antara dua sekolah menengah di Kangar, Isnin lalu.

Difahamkan, mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menyebabkan pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir perlawanan.

Insiden itu turut tular di media sosial apabila sebuah video berdurasi dua minit 49 saat menunjukkan satu perlawanan bola sepak di sebuah sekolah di daerah sini terpaksa dihentikan kerana penyokong merusuh di dalam padang.

Dalam video itu, seorang individu yang agresif mengejar individu lain sambil memaki hamun selepas difahamkan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengadili perlawanan persahabatan antara dua sekolah menengah.

"Mangsa pada mulanya didatangi seorang individu dipercayai pemain perlawanan itu yang mendakwa bertindak menyimbah air kepadanya.

"Tidak lama kemudian, sekumpulan individu dipercayai penyokong sebelum salah seorang daripada mereka memukul mangsa secara pukul curi,” katanya.

Menurut Wari, mangsa merasa kesakitan di bahagian dada kanan akibat pukulan itu.

"Setakat ini, punca kejadian rusuhan itu dipercayai berlaku kerana mangsa lewat meniupkan wisel penamat perlawanan sehingga menyebabkan pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol di akhir permainan.

"Bagaimanapun, kita masih menyiasat perkara ini dan terdapat juga beberapa laporan polis dibuat di beberapa buah balai polis sekitar daerah ini," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 9:43 PM