KELAB Penyokong TFC mengharapkan MFL menyenaraikan pengadil berwibawa untuk mengadili pertemuan separuh akhir Piala FA antara TFC dan Selangor, Sabtu ini. FOTO TFC
KELAB Penyokong TFC mengharapkan MFL menyenaraikan pengadil berwibawa untuk mengadili pertemuan separuh akhir Piala FA antara TFC dan Selangor, Sabtu ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC mengharapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyenaraikan pengadil berwibawa serta bebas kontroversi untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, kelab penyokong mengharapkan mutu pengadilan terbaik dipamerkan pengadil bagi mengelak kedua-dua pasukan menjadi mangsa.

Beliau turut mengharapkan peminat setia kedua-dua pasukan dapat mengamalkan disiplin tinggi serta tidak membuat sebarang provokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Sebagai peminat setia bola sepak tanah air, kami mengharapkan MFL menyediakan pengadil berwibawa dan bebas daripada sebarang kontroversi untuk mengadili aksi penting itu.

"Selain itu mutu pengadilan mereka haruslah telus dan profesional bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini akibat ketidakpuasan hati segelintir penyokong.

"Paling penting pengadil mampu membuat keputusan tepat, bijak dan adil serta tidak mengikut emosi. Peminat kedua-dua pasukan yang hadir ke stadium diingatkan memberikan kerjasama dan mengamalkan disiplin tinggi serta tidak membuat provokasi," katanya yang sambil menyatakan akan membuat gimik serta menyediakan tifo pada perlawanan itu.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu menentang kelab Singapura, Lions XII pada 16 Mei 2015 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, penyokong Terengganu yang 'naik minyak' kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan bertindak merusuh.

Mereka membakar ambulans, membaling mercun dan memecahkan cermin stadium sehingga memaksa pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan keadaan.

Kali terakhir Terengganu muncul juara Piala FA pada 2011 selepas menundukkan Kelantan 2-1 dan ketika itu skuad Penyu dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:54 PM