Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: “Saya faham Terengganu kecewa berhubung keputusan yang dibuat. Bagaimanapun, saya harap mereka tidak mengambil tindakan terburu-buru,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mengancam keluar dari Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun Khairy berkata, keputusan pengadil berhubung perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang berlangsung di Kuala Terengganu, Sabtu lalu adalah muktamad.

“Dalam bola sepak, walaupun keputusan itu ada kesilapan, kita kena terima hakikat. Selepas itu, keputusan itu akan dikaji semula (untuk melihat) sama ada berlaku kesilapan atau ofsaid dan sebagainya.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh ambil tindakan pada waktu itu misalnya menggantung pengadil terbabit atau mengambil tindakan terhadapnya,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Bersama Berjaya Corporation Berhad di sini, semalam.

Kelmarin, Ahmad Razif mengancam menarik keluar pasukannya dari Liga M sekiranya FAM tidak mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti pengadil melakukan kesilapan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA berlangsung pada Sabtu lalu.

Pendirian tegas Ahmad Razif sebagai jawapan kepada keputusan pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob membatalkan jaringan keempat Terengganu yang dikatakan ofsaid hingga menyebabkan tercetusnya rusuhan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:41 AM