WASHINGTON (Reuters) : Lima bot tentera laut Iran melepaskan tembakan ke arah kapal kargo yang mengibarkan bendera Singapura di Teluk Parsi.

CNN yang memetik pegawai Amerika Syarikat bagaimanapun melaporkan tidak dapat dipastikan kapal berkenaan terkena tembakan.

Kapal berkenaan kemudian menuju perairan antarabangsa ke arah Emiriah Arab Bersatu.

Menurut CNN tiada rakyat Amerika di atas kapal itu.

Kejadian itu berlaku ketika Presiden Amerika, Barack Obama, dan pemimpin negara Teluk akan bertemu di Camp David untuk persidangan khas membincangkan usaha Amerika melaksanakan perjanjian nuklear dengan Iran.

Amerika serta lima negara kuasa besar dunia sedang berbincang dengan Iran untuk menghadkan program nuklear negara itu.

Hubungan Iran juga tegang dengan Arab Saudi berikutan kapal kargonya dipintas dan diperiksa di Selat Hormuz.

Arab Saudi melepaskan tembakan memaksa kapal kargo Iran menuju perairan antarabangsa.

Sementara itu Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Amerika berkata Iran cuba memintas kapal kargo itu, Alpine Eternity, bagi menyelesaikan pertikaian perundangan kerana kapal berkenaan melanggar pelantar minyak Iran, Mac lalu.

“Iran mendakwa kapal itu bertanggungjawab terhadap kerosakan pelantar minyaknya pada 22 Mac lalu,” kata pegawai itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 1:28 AM