USS Arlington membawa askar marin, kenderaan amfibius, bot pendarat. FOTO Agensi
USS Arlington membawa askar marin, kenderaan amfibius, bot pendarat. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Pengawal Revolusi Iran menegaskan tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat ketika seorang ulama kanan Iran berkata, armada tentera laut Amerika Syarikat ‘boleh dimusnahkan dengan satu peluru berpandu.’

Presiden Amerika, Donald Trump yang mendesak pemimpin Iran berunding mengenai program nuklear negara itu, menyatakan beliau tidak boleh mengenepikan kemungkinan tindakan ketenteraan.

Reuters melaporkan, Trump membuat tawaran itu ketika ia meningkatkan tekanan ekonomi dan tentera, termasuk berusaha menyekat eksport minyak Iran.

Kelmarin, Amerika mengerah kapal perang USS Arlington, yang membawa askar marin, kenderaan amfibius, bot pendarat dan pesawat pengangkut serta sistem peluru berpandu Patriot ke Teluk Parsi, menyertai kumpulan penyerang kapal perang USS Abraham Lincoln.

Menurut laporan CNN, kumpulan kapal pengangkut USS Abraham Lincoln sudah melepasi Terusan Suez di Mesir dan kini belayar menuju Laut Merah.

Sistem peluru berpandu Patriot ialah pertahanan terhadap pesawat, dron, peluru berpandu jarak dekat dan jauh yang kini ditempatkan di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Turut dihantar ke Teluk bersama kapal perang terbabit ialah pesawat pengebom B-52 yang dilaporkan sudah berada di kawasan operasi, termasuk di Pangkalan Udara Amerika di Al Udeid, Qatar.

SISTEM pertahanan udara peluru berpandu Patriot. FOTO Agensi
SISTEM pertahanan udara peluru berpandu Patriot. FOTO Agensi

Sementara itu, agensi berita Iran, ISNA, melaporkan, ulama kanan Iran, Ayatollah Yousef Tabatabai-Nejad, ketika khutbah solat Jumaat di Isfahan berkata: “Armada berbilion dolar mereka boleh dimusnahkan dengan satu peluru berpandu

“Jika mereka cuba melakukan sebarang tindakan, mereka akan (menghadapi) puluhan peluru berpandu kerana pada masa itu pegawai kerajaan tidak lagi bertindak berhati-hati, sebaliknya keputusan terletak di tangan pemimpin kesayangan kita (Ayatollah Ali Khamenei).”

Ketegangan Iran-Amerika itu bermula selepas Teheran menyatakan ia tidak lagi akan mematuhi syarat perjanjian nuklear 2015 dan akan meneruskan usaha memperkaya uranium gred tinggi kerana negara yang terbabit dalam perjanjian itu gagal menunaikan janji.

Menurut Iran, sejak Amerika keluar dari perjanjian itu setahun lalu, kuasa dunia lain iaitu United Kingdom, Perancis, Jerman, China dan Russia gagal memberi kerjasama melindungi ekonominya akibat sekatan Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:30 AM