Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah negara Mohamed Iskandar Alwi terpaksa menggandakan usaha jika mengidamkan pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura sekali gus menukar warna pingat dimenangi di Myanmar, dua tahun lalu.

Atlet kelahiran Johor itu pemegang rekod kebangsaan acara berkenaan dengan catatan 5.16m dilakar pada Terbuka Malaysia, Mac lalu namun gagal mengatasi pencapaian pencabar utamanya dari Filipina dan Thailand yang melepasi ketinggian 5.20m.

Namun Iskandar yang mencuba galah baru berukuran 4.9 meter dan boleh menampung berat 82 kilogram yakin peluang tetap ada untuk meraih pingat dan semuanya terpulang pada hari pertandingan nanti.

Biarpun belum menemui rentak dengan galah baru itu Iskandar berkata, dia berusaha dan yakin mampu menemui keserasian.

“Kini saya masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan galah baru. Biarpun belum menemui keserasian, saya akan berusaha kerana galah baru ini mampu membantu membuat lompatan lebih tinggi.

“Andai tidak menemui keserasian mungkin saya akan menukar galah lain. Kini saya berusaha membuat lompatan terbaik,” katanya yang akan menyertai Kejohanan Jemputan Lompat Bergalah di Korea pada 20 Mei ini sebelum berlepas ke Singapura.

Iskandar, 21, melakar kejutan dengan menghadiahkan perak di Myanmar bagi menamatkan kemarau pingat negara dalam acara lompat bergalah lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:09 AM