ISKANDAR menjalani latihan pemanas badan di padang latihan Stadium My Dinh. -FOTO NSTP
ISKANDAR menjalani latihan pemanas badan di padang latihan Stadium My Dinh. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi berdepan sedikit kecederaan pada sesi latihan di Hanoi hari ini namun percaya ia bukan penghalang untuk dirinya meraih pingat pada penyertaan keempatnya di Sukan SEA.

Iskandar yang berusia 28 tahun itu berkata, kecederaan terbaru dialaminya itu agak merisaukan namun kekal percaya masih berpeluang untuk meraih pingat dalam acara final yang dijadual berlangsung di Stadium My Dinh, esok.

"Apabila sampai di sini, semuanya OK saja, cuma selepas latihan pemanas badan tercedera sedikit di buku lali kanan dan saya akan membuat pemeriksaan lanjut," kata Iskandar ketika ditemui selepas sesi latihan di sini, hari ini.

"Agak merisaukan juga (kecederaan dialaminya) kerana hanya tiga negara saja menyertainya (lompat bergalah). Yang saya tahu, Filipina dan Thailand masing-masing menghantar dua atlet dan Malaysia seorang.

"Saya kenal tiga daripada pesaing ini tetapi seorang lagi atlet junior dari Thailand itu saya tidak berapa pasti. Apapun, sasaran saya adalah memperbaiki catatan peribadi terbaik saya iaitu 5.31 meter (m).

"Dapat pingat ataupun tidak, itu terpulang kepada situasi esok kerana atlet junior dari Thailand itu mempunyai catatan peribadi terbaik lebih kurang dengan saya iaitu 5.30 manakala atlet junior Filipina pula dalam 5m. Oleh itu, harapan untuk meraih pingat itu ada di sini."

Untuk rekod, Iskandar yang pernah beraksi di Suka Asia Incheon 2014 bakal membuat penampilan keempatnya di Hanoi dengan pencapaian terbaiknya meraih perak pada edisi di Myanmar 2013 manakala bakinya membawa pulang gangsa.

Pada temasya di Filipina tiga tahun lalu, Iskandar yang berasal dari Johor Bahru meraih gangsa dengan lompatan setinggi 5m manakala atlet Filipina, Ernest Obiena meraih emas (5.45m) yang juga rekod baharu temasya. Atlet Thailand, Porranot Purahong meraih perak dengan 5.20m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 1:05 PM