NOR Sarah Adi (kanan) menerima cenderahati daripada wakil syarikat AMB di Nilai, baru-baru ini. FOTO Mohd Amin Jalil
NOR Sarah Adi (kanan) menerima cenderahati daripada wakil syarikat AMB di Nilai, baru-baru ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bersaing di peringkat tertinggi di Sukan Olimpik menjadi sasaran utama jaguh lompat bergalah kebangsaan, Nor Sarah Adi.

Meskipun impian itu bukan mudah untuk dicapai namun atlet berusia 22 tahun ini yakin ia boleh direalisasikan.

"Kalau boleh saya nak pergi Olimpik, itu sasaran utama, soal sukar atau apa juga halangan itu perkara lain, insya-Allah kalau ada rezeki.

"Saya yakin dan percaya, ia boleh dicapai dengan latihan bersungguh-sungguh dan bimbingan daripada jurulatih," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada penyertaan di Sukan Sea di Kemboja baru-baru ini, Sarah membawa pulang pingat perak selepas mengakhiri saingan di kedudukan kedua dengan lompatan setinggi 4.05 meter (m).

Berbanding di Sukan Sea di Hanoi, Vietnam tahun lalu, dia memenangi pingat emas dalam acara lompat bergalah dan memenangi pingat gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4×100m.

Sarah berkata, walaupun gagal mempertahankan emas di Sukan Sea lalu, namun lompatan 4.05m itu dianggap pencapaian terbaik peribadinya bagi tahun ini.

Menurutnya, pihaknya yakin catatan itu akan dapat ditingkatkan lagi apabila galah baharu akan tiba dalam tempoh terdekat ini.

"Masa persiapan Sukan Sea di Kemboja tempohari, tak sempat guna galah baharu, tapi sekarang tempahan galah sudah dibuat dan galah baharu ini nanti lebih sesuai dengan fizikal saya.

"Apabila proses kecederaan pulih sepenuhnya, saya akan mulakan latihan secepat mungkin untuk persiapan menghadapi beberapa kejohanan terutamanya Sukan Asia di China, September nanti.

"Ia penyertaan pertama saya di temasya sukan terbesar itu nanti dan sudah tentu saya mahukan pencapaian yang lebih tinggi serta keputusan yang lebih baik," kata penuntut tahun tiga Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Baru-baru ini, dia bersama dua lagi atlet olahraga iaitu Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Queenie Ting Kung Ni ( lempar cakera) diraikan dalam majlis ramah mesra dan meraikan kejayaan atlet Sukan SEA Kemboja bersama syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di Pusat Hab Halal Bandar Enstek, Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 12:27 PM