MATA (kanan) ledak gol tunggal  United ketika berdepan Palace.
MATA (kanan) ledak gol tunggal United ketika berdepan Palace.
AFP

Manchester: Pengurus Louis van Gaal percaya peluang Manchester United untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat teratas semakin cerah selepas berjaya mencari rentak kemenangan ketika berdepan Crystal Palace, kelmarin.

United mencatatkan kemenangan pertama selepas empat perlawanan, tetapi mereka perlu bekerja keras sebelum menang 1-0 menentang pasukan bersemangat tinggi, Crystal Palace di Old Trafford.

“Saya gembira dengan tiga mata ini dan kami berada dalam saingan hingga tamat untuk meraih kedudukan yang kami mahukan. Kami kurang dua mata di belakang pasukan di tempat keempat. Kedudukan itu berada dalam tangan kami dan ia sangat penting,” kata Van Gaal.

Juan Mata menjaringkan gol tunggal pada minit ke-67, empat minit selepas dia masuk sebagai pemain gantian.

Pemain tengah kelahiran Sepanyol itu melakukan rembatan dari jarak 20 meter dan menewaskan penjaga gol Palace, Julian Speroni.

Ia gol ketiga Mata dalam kempen kali ini ketika dia mendapat peluang terhad untuk beraksi dan bekas pemain perancang Chelsea itu hampir menambah jaringan apabila percubaannya terkena palang tiga minit sebelum tamat.

Selepas Marcus Rojo, Rafael, Phil Jones dan Jonny Evans mengalami kecederaan manakala Chris Smalling pula digantung, Van Gaal sekali lagi membariskan pemain kurang dikenali di bahagian pertahanan.

Paddy McNair dan Daley Blind dipilih untuk membarisi pertahanan tengah dan mereka membantu United tidak melepaskan sebarang gol sejak mencatat kemenangan 4-0 ke atas Queens Park Rangers 14 September lalu.

Van Gaal berkata, perubahan bukan saja berlaku terhadap rangkaian pertahanan.

“Ia bukan saja pertahanan, ia membabitkan kesepakatan ketika kami tidak mengawal bola. Ini bermakna keseluruhan pasukan harus bertahan. Hari ini (kelmarin), kami sangat bagus mengenai perkara itu.

“Selain itu, sebelum separuh masa pertama tamat terdapat juga salah faham antara McNair dan Blind, yang boleh menyebabkan kami ketinggalan 0-1. Bagaimanapun, ia adalah lumrah dalam bola sepak.

“Kami mempunyai kesabaran, tetapi kami perlu lebih banyak kelajuan dan pertukaran. Kami mempunyai banyak masa mengawal bola, mencipta peluang dan sebarang kemungkinan. Kami mampu menjaringkan gol pada separuh masa pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:08 AM