PEMAIN Shakhtar meraikan kemenangan mengatasi City. -Foto AFP
PEMAIN Shakhtar meraikan kemenangan mengatasi City. -Foto AFP
Reuters

DONETSK, Ukraine: Shakhtar Donetsk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas gol pada babak pertama menerusi pemain Brazil, Bernard dan Ismaily membantu kelab Ukraine itu menewaskan Manchester City 2-1 dalam aksi Kumpulan F, sebentar tadi.

City yang mengalami kekalahan pertama mereka dalam semua pertandingan musim ini, menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dengan mengumpul 15 mata, tiga mata di depan Shakhtar dan sembilan mata meninggalkan penghuni tangga ketiga, Napoli yang akan beraksi dalam saingan Liga Europa selepas tewas 1-2 di tangan Feyenoord.

City yang merehatkan beberapa tonggak utama dilihat bergelut pada babak pertama dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Shakhtar yang membuka tirai jaringan menerusi Bernard pada minit ke-26 sebelum Ismaily meledak gol kedua pada minit ke-32.

Pemain gantian, Sergio Aguero menjaringkan gol buat City menerusi sepakan penalti pada lewat babak perlawanan tetapi ia belum cukup untuk menghadirkan kegembiraan kepada Pep Guardiola yang membuat penampilan ke-100 dalam Liga Juara-Juara sebagai pengurus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:20 AM