PESERTA bersemangat memulakan kayuhan.
PESERTA bersemangat memulakan kayuhan.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali

Manjung: Lebih 1,300 peserta dalam dan luar negara peraga kayuhan terbaik pada Kejohanan Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2015 anjuran TNB Janamanjung Sdn Bhd di Manjung, baru-baru ini.

Peserta berkayuh sejauh 130km merentasi Ayer Tawar, Beruas, Layang-Layang Kiri, Bota Kiri dan berakhir di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah.

Tiga hentian pit sepanjang jarak 130km iaitu di Sekolah Kebangsaan Dendang Beruas, SMK Layang-Layang Kiri dan Sekolah Menengah Ambrose Ayer Tawar.

JMFR 2015 adalah anjuran kali kelapan sejak diperkenalkan pada 2008 dan dimasukkan dalam kalendar aktiviti sukan negeri Perak.

Kakitangan Berita Harian (BH) dan Harian Metro turut mengambil bahagian merasai kemeriahan program tahunan itu.

Pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung Shamsul Ahmad berkata, pihaknya teruja dengan sambutan hangat peserta dalam dan luar negara termasuk dari Bulgaria, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura.

“JMFR terus mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun terutama peserta luar negara.

“Selain menggalakkan aktivti riadah, mengeratkan tali persaudaraan tanpa mengira kaum selain menyedarkan orang ramai mengenai penjanaan elektrik menggunakan arang batu menerusi teknologi mesra alam,” katanya.

Jamuan makan tengah hari disediakan sambil cabutan nombor bertuah diadakan untuk semua peserta.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharuddin. Antara orang kenamaan yang hadir ADUN Pengkalan Baru Datuk Abd Manaf Hashim dan ADUN Pasir Panjang Datuk Rashidi Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:01 AM