SEBAHAGIAN peserta JMFR 2018 dilepaskan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto TNB
SEBAHAGIAN peserta JMFR 2018 dilepaskan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto TNB

KIRA-KIRA 4,000 peserta dan pengunjung tempatan serta luar negara memeriahkan Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018, anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama TNB Janamanjung Sdn Bhd yang berlangsung di Teluk Batik, Perak, Ahad lalu.

Penganjuran JMFR 2018 itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM); Tourism Perak; Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, program edisi ke-11 itu agak unik apabila turut disertai 14 atlet paralimpik negara, 10 golongan kelainan upaya penglihatan serta dan empat pemain hoki kebangsaan, yang juga kakitangan TNB.

“JMFR terus menjadi pilihan peminat yang gemar berkayuh secara santai sambil menikmati pemandangan di Perak ini tanpa mengira usia. Peserta yang mengambil bahagian kali ini berumur antara 7 hingga 70 tahun.

“Selain menggalakkan aktiviti sukan, JMFR juga bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai penjanaan elektrik menggunakan arang batu di TNB Janamanjung adalah selamat kepada alam sekitar dan masyarakat berhampiran.

“Pada masa sama, JMFR juga mempromosikan Manjung, Lumut dan Teluk Batik sebagai lokasi pelancongan untuk orang ramai,” kata Roslan.

Majlis pelepasan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Peserta JMFR 2018 berkayuh sejauh 147 kilometer (km) melalui Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung serta kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak dan Ayer Tawar, Perak dan melalui di lima kawasan rehat.

Bagi memeriahkan lagi program, lebih 30 gerai pameran disediakan untuk pengunjung antaranya gerai promosi Aplikasi MyTNB, Jelajah Pasukan Hoki TNB Thunderbolts selain gerai jualan produk tempatan.

Untuk rekod, jelajah berbasikal ini diperkenalkan pada 2008 dan menjadi acara tahunan negeri Perak sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:06 PM