PESERTA meredah bahang mentari untuk menamatkan kayuhan sejauh 110km.
PESERTA meredah bahang mentari untuk menamatkan kayuhan sejauh 110km.
AKSI sebaik peserta dilepaskan.
AKSI sebaik peserta dilepaskan.
Noor Hidayah Tanzizi

Edisi ke-10 jelajah kayuhan Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2017, baru-baru ini, meriah apabila menarik penyertaan 1,200 peserta dalam dan luar negara seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Kayuhan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Janamanjung itu juga tersenarai dalam kalendar aktiviti melawat negeri Perak merangkumi laluan di lokasi menarik sekitar daerah Manjung yang mempunyai keunikan, keindahan alam dan sejarah tersendiri

Antara laluan yang ditempuh sejauh 110 kilometer itu ialah kawasan daerah Manjung merentasi laluan Lumut, Seri Manjung, Pantai Remis, Beruas dan Ayer Tawar.

Pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di pekarangan Taman Perkelahan Awam Teluk Batik, Lumut, Perak.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim; Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Zainudin Ibrahim dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Penganjuran program berkenaan sebahagian daripada galakan aktiviti riadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat, di samping melakukan kerja amal menerusi program Tanggungjawab Sosial Koporat dengan memberikan sumbangan RM2,000 kepada Dewan Bakar Bata, Dewan Kampung Matang, Aceh dan Surau Alirsyadiah Kampung Matang, Aceh.

Zainudin berkata, jelajah berbasikal itu secara tidak langsung mempromosikan industri pelancongan di negeri Perak khususnya daerah Manjung.

Katanya, JMFR bermula pada 2008 dan pada permulaan, penyertaan yang diterima ketika itu hanya membabitkan 100 peserta saja.

“Namun itu semakin meningkat tahun demi tahun dan penyertaan yang diterima kini berskala besar hingga lebih 1,000 peserta.

“Ini membuktikan JMFR semakin dikenali tidak saja di negara kita, malah daripada peserta asing sebagai salah satu acara wajib bagi penggemar sukan berbasikal.

“Pihak TNB Janamanjung akan meneruskan program ini pada masa hadapan dan dalam pada itu, kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membenarkan kayuhan ini dijalankan di sini,” katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri berbangga dan berbesar hati dengan penganjuran JMFR yang dapat menarik pengunjung dalam dan luar negara ke daerah Manjung.

Katanya, kehadiran peserta berskala besar memberi kesan positif kepada ekonomi setempat, sekali gus mempromosikan dan menjayakan Tahun Melawat Perak 2017.

“Jelajah berbasikal ini juga dimasukkan di dalam kalendar tahun melawat Perak untuk membantu mencapai sasaran 8.5 juta pelancong tahun ini,” katanya.

Peserta dari Amerika Syarikat, Brad Meek, 35, berkata, edisi ke-10 ini bukan penyertaan pertamanya dan dia sudah menyertai JMFR sejak 2015, malah menganggap program itu sebagai acara wajib yang mesti disertai setiap tahun.

Katanya, melalui JMFR dia dapat mengenali dan melihat dengan lebih dekat kawasan yang mempunyai keunikan tersendiri di negeri ini yang dilalui ketika berbasikal selain dapat berkenalan dengan peminat tempatan sukan itu.

“Saya lihat setiap tahun penyertaan meningkat dan semuanya sangat laju serta cekap melintasi laluan yang sangat mencabar sehingga ke garisan penamat tanpa berputus asa dengan penuh semangat.

“Istimewa edisi kali ini adalah laluannya yang berbeza berbanding tahun lalu dan kali ini banyak melalui kawasan perkampungan serta penduduknya juga sangat ramah,” katanya.

Seorang peserta, Izman Adnan, 36, yang juga pengurus pasukan Cyberjaya Recreation and Cyling Club (CRCC) berkata, berbasikal adalah aktiviti popular masa kini yang sesuai disertai pelbagai peringkat usia dan JMFR program terbaik yang pernah pasukannya sertai.

“Kayuhan dengan kelajuan sendiri tanpa halangan di jalan raya adalah menyeronokkan dan pihak pengurusan juga menguruskan acara ini dengan baik bagi memastikan kenderaan lain memberikan laluan kepada peserta.

“Yang lebih mengembirakan adalah sikap ramah penduduk kampung yang sudi membantu beberapa rakan pasukan saya ketika mengalami masalah tayar di Pantai Remis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:44 AM