TENGKU Baharuddin memakaikan pangkat kepada Aisyah pada Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Sukarela Rejimen 512 AW 2020 di Kem Rejimen 512 AW Padang Midin. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
TENGKU Baharuddin memakaikan pangkat kepada Aisyah pada Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Sukarela Rejimen 512 AW 2020 di Kem Rejimen 512 AW Padang Midin. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“HITAM dan hodoh pun tak apa, saya tidak kisah kerana saya berbangga menjadi sebahagian daripada anggota Rejimen 512 Askar Wataniah (AW),” kata Aisyah Maneran, 22, seorang daripada 27 penerima pangkat Sukarela Rejimen 512 AW 2020.

Dia ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Sukarela Rejimen 512 AW 2020 di Kem Rejimen 512 AW Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Aisyah berkata, dia meminati aktiviti lasak sejak daripada kecil malah bercita-cita menjadi askar dan berkhidmat untuk negara.

“Saya pernah memohon sebagai anggota tentera tetapi tidak terpilih sebelum mengambil keputusan menyertai AW pada 2016.

“Sekarang dalam proses menunggu panggilan sebagai anggota tentera tetap seterusnya mencapai cita-cita saya itu,” katanya yang berasal dari Simpang Renggam, Johor.

Pemakaian pangkat disempurnakan oleh Komander Rejimen 512 AW Kem Padang Midin, Brigadier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan Timbalan Komander Rejimen 512 AW, Leftenan Kolonel Roslan Mohd Zin.

Aisyah berkata, dia berasa seronok menyertai AW kerana banyak ilmu berkaitan perang dan ketenteraan dipelajari.

“Ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang menjalani latihan AW tidak ada di mana-mana.

“Paling penting melalui latihan dijalankan, keyakinan dan keberanian saya dapat dipertingkatkan.

“Walaupun saya seorang wanita namun permainan saya bukan alat solek tetapi senjata api,” katanya.

Rakannya, Tan Eng Kok, 20, berkata, dia menyertai AW bagi membuktikan wanita daripada bangsa lain juga mempunyai semangat patriotik.

“Sejak menyertai AW, keyakinan dan pergaulan saya dengan orang sekeliling semakin baik.

“Latihan kawat dan ketenteraan menjadikan saya lebih berdisiplin dan berasa sayang kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Tengku Baharuddin berkata, beliau berharap lebih ramai orang awam berdaftar sebagai AW di negeri ini.

“Hanya 20 peratus orang awam daripada 2,000 AW yang berdaftar di negeri ini dan selebihnya terdiri daripada penuntut universiti.

“Kami menyasarkan pendaftaran baru dalam kalangan orang awam meningkat pada tahun ini dan pelbagai kempen serta promosi akan dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pembabitan orang awan terutama golongan muda dapat mencegah mereka daripada terbabit dengan jenayah dan masalah sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 3:38 PM