POLIS mengawal tempat kejadian.
POLIS mengawal tempat kejadian.
Agensi

Texas: Dua lelaki bersenjata ditembak mati polis selepas menyerang acara pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad (SAW) yang menawarkan hadiah utama AS$10,000 (RM36,000) di Garland dan turut dihadiri ahli politik Belanda Geert Wilders yang terkenal anti-Islam.

Acara dianjurkan kumpulan Inisiatif Pertahanan Kebebasan Amerika (AFDI) yang juga terkenal lantang mengkritik Islam.

Menurut polis, dua lelaki memandu ke lokasi itu dan menembak pengawal keselamatan yang cedera ringan di buku lali.

“Polis membalas tembakan dan dua lelaki terbabit maut,” kata kenyataan dikeluarkan bandar Garland.

Kejadian hanya berlaku beberapa minit.

Seorang suspek dikenal pasti sebagai Elton Simpson dari Arizona yang memang disiasat untuk kes berkaitan dengan keganasan. Rakannya yang belum dikenal pasti dipercayai jirannya. Negara Islam (IS) di Twitter mendakwa dua individu itu penyokong perjuangannya.

Pejuang IS Abu Hussain Al-Britani mendakwa: “Dua saudara kita baru melepaskan tembakan di pameran Nabi Muhammad di Texas.

“Mereka menyangka Texas selamat daripada Askar Negara Islam.”

Kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum acara berkenaan tamat dan Wilders turut sempat membuat ucapan.

“Saya terkejut. Saya berucap setengah jam mengenai kartun dipamerkan, Islam dan kebebasan bersuara serta baru meninggalkan premis berkenaan,” katanya.

Kali terakhir imej mempersendakan Nabi Muhammad (SAW) pada Januari lalu dalam akhbar satira Perancis Charlie Hebdo melihat 17 orang mati dibunuh - termasuk 12 di pejabat majalah itu - selepas serangan oleh dua lelaki bersenjata.

Jurucakap polis Joe Harn berkata kira-kira 200 orang menghadiri acara itu yang sebelum ini mendapat kecaman anti-Islam walaupun penganjurnya mendakwa mempunyai hak kebebasan bersuara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:55 AM