KENDERAAN dinaiki dua suspek dikawal polis. Pamela Geller (gambar kecil) FOTO EPA
KENDERAAN dinaiki dua suspek dikawal polis. Pamela Geller (gambar kecil) FOTO EPA

Washington (Amerika Syarikat): Pertubuhan yang menganjurkan pameran karikatur memaparkan Nabi Muhammad SAW di mana dua lelaki ditembak mati pagi tadi mempunyai sejarah mengeluarkan kenyataan provokasi anti-Islam yang didakwa mempertahankan kebebasan bersuara.

American Freedom Defense Initiative (AFDI) yang diketuai aktivis anti-Islam Pamela Geller menawarkan hadiah wang tunai $10,000 (RM35,992) dalam pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW.

Memaparkan imej Nabi Muhammad SAW adalah satu penghinaan kepada umat Islam dan perlakuan berkenaan menyebabkan pelbagai insiden keganasan termasuk insiden di Paris di mana 12 petugas akhbar mingguan Charle Hebdo ditembak mati.

Dua lelaki bersenjata api yang masih belum dikenal pasti ditembak mati oleh polis di luar pameran berkenaan selepas melepaskan tembakan ke arah petugas keselamatan.

Bagaimanapun polis belum dapat mengesahkan jika kejadian berbalas tembakan berkenaan mempunyai kaitan dengan pameran terbabit.

Penyokong AFDI menegaskan pameran berkenaan bertujuan mempertahankan hak kebebasan bersuara di AS, yang dikatakan semakin terhakis berikutan ancaman keganasan terhadap mereka yang melukis karikatur Nabi Muhammad SAW.

Pusat Perundangan Southern Poverty menggambarkan AFDI sebagai sebuah pertubuhan anti-Islam yang aktif.

Kempen iklan yang ditaja AFDI di beberapa bandar raya di AS mendapat kritikan hebat.

“Kebencian Islam terhadap Yahudi. Ia ada dalam Quran, Dua pertiga bantuan AS dihantar ke negara Islam. Hentikan perkauman. Hentikan bantuan ke negara Islam,” antara paparan ikklan yang ditaja AFDI di ibu negara AS tahun lalu dan mendapat kecaman pertubuhan Islam di AS.

Seorang wakil rakyat AS, Mike Honda meminta orang ramai memboikot pengangkutan awam di Washington apabila sebuah iklan yang dibayar AFDI pada 2012 dikatakan menghina umat Islam.

Dia menggambarkan iklan berkenaan sebagai kempen kebencian dan aktivis lain bertindak menconteng iklan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:21 PM