Paris: Hampir separuh rakyat Perancis menentang penerbitan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW, menurut satu hasil kajian pendapat, ketika perbahasan mengenai batas kebebasan bersuara semakin rancak di seluruh dunia.

Kajian yang dilakukan Ifop mendapati 42 peratus rakyat negara itu percaya kartun Nabi Muhammad SAW yang dianggap menghina Islam oleh penganut agama itu tidak sepatutnya diterbitkan.

Dalam pada itu, 50 peratus berkata, mereka menyokong batas kebebasan bersuara baik secara online mahupun di laman sosial.

Bagaimanapun, 57 peratus responden berkata, bantahan daripada umat Islam tidak seharusnya menghalang kartun berkenaan diterbitkan, menurut hasil tinjauan yang disiarkan oleh Le Journal du Dimanche.

Kajian itu juga mendapati 81 peratus penduduk Perancis menyokong tindakan untuk melucutkan kerakyatan terhadap mereka yang melakukan keganasan di negara itu.

Sebanyak 68 peratus responden pula menyokong mengharamkan rakyat Perancis daripada pulang ke negara itu jika mereka disyaki ke luar negara atau wilayah yang dikuasai kumpulan militan, seperti Syria.

Tinjauan berkenaan diadakan minggu lalu selepas serangan militan terhadap pejabat majalah satira Perancis Charlie Hebdo kerana membalas dendam atas tindakan penerbitan itu menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW berulang kali.

Seramai 17 orang terbunuh dalam kejadian yang berlarutan selama tiga hari itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:27 AM