Baru-baru ini teman sekerja Cik Pang menyampaikan berita, tapi tidak tahulah ia bakal disambut dengan gembira atau sedih oleh peminat setia penyanyi utama kumpulan 6ixth Sense dan komposer terkenal, Adi Priyo Sambodo (Adi).

Cerita teman sekerja Cik Pang, Adi sudah bertemu pengganti bekas kekasihnya yang hanya dikenali dengan panggilan Bunda dan akan bernikah dengan gadis bertuah itu, akhir tahun ini.

Kata teman Cik Pang, sewaktu berbual dengan Adi, penyanyi berasal dari Indonesia itu seakan-akan serius membicarakan soal mahu menikahi kekasih hatinya.

Kata Adi, kekasih hatinya mula dikenali beberapa bulan kebelakangan ini dan orang tempatan. Dia tertarik dengan kesederhanaan ditampilkannya serta menerima dirinya dengan seadanya dan bukan sebab dikenali sebagai penyanyi utama kumpulan 6ixth Sense atau komposer popular.

Kalau boleh, Adi tidak mahu bercinta lama dan biar mereka bercinta selepas nikah. Atas alasan itu, dia sangat mengharap apa dirancang bakal menjadi kenyataan.

Mengenai Bunda, Adi dan bekas kekasihnya putus bukan disebabkan bergaduh atau berselisih faham. Sebaliknya, ada masalah timbul membabitkan status, menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan hubungan yang berlanjutan hampir lima tahun itu.

Walaupun kecewa dan sedih atas apa yang berlaku antara dia dan Bunda, Adi melihatnya dari sudut positif dan menganggap memang tiada jodoh antara mereka berdua.

Apapun, Cik Pang nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah buat Adi yang sudah bertemu wanita pilihan hati dan mahu bernikah dalam waktu terdekat.

Semoga apa dirancang dipermudahkan dan penyanyi itu memperoleh kebahagiaan yang diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:09 AM