Tidak sangka pula dalam diam, ramai teman Cik Pang jadi pemerhati gelagat pendatang baru, Ezzaty Abdullah yang mula dikenali menerusi drama Delina.

Kebanyakan teman Cik Pang tidak percaya dengan kenyataan Ezzaty membabitkan hubungan cintanya dengan Azwan Kombos.

Bak kata orang, kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Azwan sendiri dalam nafi-nafi, kata teman Cik Pang, baru-baru ini mereka datang menghadiri majlis tayangan perdana filem dengan pakaian sedondon.

Bukan itu saja, kedua-dua mereka juga menurut teman Cik Pang seperti belangkas. Ke mana saja pergi mesti bersama.

Kalau betul sekadar kawan, kita mestinya tidak tergamak untuk bermesra-mesra apatah lagi di hadapan orang ramai.

Bayangkan kalau kawan baik tiba-tiba perangai macam belangkas mestinya kita akan tegur dan berasa geli.

Apabila teman Cik Pang bercerita mengenai Ezzaty dengan Azwan, teringat pula Cik Pang akan kisahnya dengan pelakon kacukan Kazakhstan, Daler tidak lama dulu.

Begitu juga keadaannya, Ezzaty dan Daler begitu mesra tetapi apabila ditanya kedua-duanya menjelaskan mereka hanya sekadar bersahabat.

Tambah pula Ezzaty banyak membantu membetulkan bahasa Melayu Daler sewaktu mula-mula membabitkan diri dalam dunia lakonan.

Bagi Cik Pang, kalau betul pun Ezzaty bercinta dengan Azwan apa salahnya. Masing-masing pun pernah melalui sejarah pahit dalam percintaan.

Mungkin masing-masing sudah ada pengalaman dan faham. Jadi tak payahlah nak sorok-sorok sangat. Kalau betul bercinta tapi awak nafi takut nanti peminat pun menyampah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:00 AM