MAWI (kiri) dan datuk Siti Nurhaliza
MAWI (kiri) dan datuk Siti Nurhaliza
Oleh Nor Akmar Samudin


Dua penyanyi popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi serta kumpulan nasyid Rabbani akan muncul untuk menjayakan Konsert Makan Malam Amal Islami 2014 di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak Jumaat ini bermula jam 8 malam.

Konsert anjuran Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) itu bertujuan mengutip dana untuk kesatuan itu.

Pengarah Projeknya, Ustaz Muhd Razi Abd Rahman Mat Saad berkata, dengan pertambahan jumlah ahli memerlukan mereka merancang aktviti menyeluruh yang pastinya bermatlamat memberi manfaat kepada semua.

"KPIP memerlukan pejabat pentadbiran sendiri, sekali gus memudahkan pengurusan program dakwah dan pendidikan yang dirancang secara berterusan lebih efisyen.

"Apabila tiga penya­nyi itu sedia bersama-sama kami untuk menzahirkan impian itu, ia menandakan mereka sangat prihatin membantu golongan penuntut mendapatkan prasarana lebih baik," katanya.

Jelasnya, hasil jualan tempat dan meja daripada majlis makan malam terbabit turut disalurkan untuk pembinaan mini studio bagi tujuan rakaman mahu pun latihan dan menubuhkan kumpulan nasyid.

"Kami harap daripada premis dan pelan jang­ka panjang ini akan dapat menjana pendapatan kerana ia boleh disewakan kepada orang luar," katanya.

Pada majlis itu nanti, dia menyatakan setiap penghibur akan tampil mendendangkan empat lagu popular mereka.

Maklumat lanjut hubungi 011 18745318 (Ustaz Taufiq) atau 019 5077587 (Ustaz Radzi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:01 AM