BERSAMA Ustaz Muhammad Adenan (lima dari kiri) ketika pelancaran tabung pembinaan TDU, baru-baru ini.
BERSAMA Ustaz Muhammad Adenan (lima dari kiri) ketika pelancaran tabung pembinaan TDU, baru-baru ini.
Oleh Nor Akmar Samudin


Ajal, maut dan jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah SWT.

Begitulah yang berlaku antara kumpulan nasyid Rabbani dengan Mudir Tahfiz Darul Ulama (TDU) Ustaz Muhammad Adenan Abdullah apabila mereka terserempak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), awal tahun lalu hingga membuka jalan kepada kerjasama membangunkan pusat tahfiz TDU di Kampung Melayu Kundang, dekat Kuang, Selangor.

Baru-baru ini, mereka menganjurkan majlis makan malam dan berjaya mengumpul dana RM50,000 dalam usaha memperbesarkan pusat tah­fiz berkenaan.

Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, pertemuan yang terjadi ketika mereka menunggu penerbangan ke Kuantan itu terus serasi lebih-lebih lagi wajah beliau seiras bekas penyanyi utama Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim.

“Daripada perkenalan tanpa sengaja itulah hati ini terus terdetik untuk mengenali lebih rapat Ustaz Adenan terutama apabila diberitahu dia mengusahakan pusat tahfiz dan fardu ain,” katanya.

TDU yang dibuka enam tahun lalu di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kini memiliki 60 pelajar lelaki. Mereka yang belajar di situ juga tidak dikenakan sebarang bayaran.

Azadan berkata, TDU yang bergerak menggunakan hasil sumba­ngan orang ramai, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor memerlukan dana RM150,000 bagi membina bangunan dua tingkat di TDU Kuang dan satu lagi pusat tahfiz berkenaan di Marang, Terengganu.

Sehubungan itu, dalam usaha membantu pusat tahfiz itu Rabbani sanggup berkorban dengan mengadakan persembahan secara percuma.

“Kami yakin apabila kita ikhlas membantu, pasti Allah akan datangkan rezeki yang lain. Janji Allah kepada hamba-Nya, tidak rugi orang yang bersedekah apatah lagi untuk agama-Nya. Saya kagum dengan kesungguhan dan keikhlasan Ustaz Adenan membangunkan pusat tahfiz itu,” katanya.

Bagi mengumpul dana itu, Rabbani bekerjasama dengan TDU melancarkan kutipan Tabung Pembinaan Kali Kedua di Dataran Maahad Tahfiz Darul Ulama, Kampung Rhu Rendang, Marang, Terengganu pada 19 Disember ini.

Dalam program bermula 11 pagi hingga 11 malam itu, turut diadakan konsert Malam Gala Maulidurrasul 1437 Hijrah Bersama Rabbani selain kaunter sumbangan turut dibuka kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Rabbani turut merancang menganjurkan Konsert Legend of Nasyid bersama Raihan dan Hijjaz hujung tahun ini di Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Pahang.

“Arwah Ustaz Asri mengajar kami untuk selalu membantu dan mengutamakan orang lain. Dia jugalah yang mengilhamkan Konsert Legend of Nasyid, tetapi dia pergi dulu buat selama-lamanya. Segala ajaran, teguran dan nasihatnya kami ‘pegang’ sehingga kini’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:01 AM