Munsyid akan terus berdakwah menerusi medium hiburan berlandaskan kerohanian dan ketuhanan.
Munsyid akan terus berdakwah menerusi medium hiburan berlandaskan kerohanian dan ketuhanan.
Oleh Nor Akmar Samudin


Gabungan Penasyid Penasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) yang ditubuhkan pada 2011 diilhamkan Allahyarham Asri Ibrahim (vokalis utama Rabbani).

Meskipun Allahyarham meninggal dunia pada 13 Ogos 2009, cadangan itu tidak dibiarkan begitu saja apabila rakan-rakannya bersatu hati menubuhkan Munsyid yang menyaksikan komposer, penerbit dan aktivis nasyid, Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin dilantik sebagai presiden.

Sohibul bagaimanapun menyahut panggilan Ilahi pada September tahun lalu dan tempatnya diambil alih Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

Penubuhan persatuan itu bertujuan menggabungkan penyanyi dan kumpulan nasyid lama serta baru di bawah satu bumbung.

Lantas, bagi mengeratkan lagi persahabatan ahlinya, Munsyid Malaysia baru-baru ini me­ngadakan majlis rumah terbuka di Kompleks Penyayang Bakti, Sungai Buloh, yang turut meraikan peminat dan anak yatim.

Pada pertemuan itu, Ustaz Amal berkongsi hala tuju dan perjuangan kumpulan nasyid tanah air.

Jelasnya, apa jua halangan serta rintangan, mereka akan terus berdakwah menerusi medium hiburan yang berlandaskan kerohanian dan ketuhanan.

“Permintaan menjayakan persembahan nasyid tidak pernah putus malah pada waktu tertentu terutama Ramadan, ada yang tidak menang tangan berikutan

ada banyak majlis keagamaan dan berbuka puasa di sana-sini.

“Industri nasyid masih meriah cuma sebagaimana industri hiburan global, jualan album masih lesu. Tidak dinafikan album zikir mendapat sambutan, tetapi yang lain mendukacitakan.

“Kumpulan nasyid juga kena ada lagu dan album baru jika mahu terus bertahan.

“Kami akan mengumpul semua kumpulan nasyid untuk menghasilkan album kompilasi pada Oktober atau November ini,” katanya.

Persatuan yang dianggotai hampir 200 ahli ini sudah menganjurkan pelbagai program termasuk Ziarah Mahabbah Munsyid Malaysia dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke Wad Ortopedik Hospital Sungai Buloh dan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut disertai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Ramadan lalu kami mendapat kepercayaan menganjurkan selawat besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Iftar@KL anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Alhamdulil­lah segalanya berjalan lancar.

“Munsyid Malaysia akan terus menjalinkan usaha sama dengan LZS, JAWI dan juga pihak lain yang sudi bersama-sama kami menyemarakkan industri nasyid, sekali gus membantu masyarakat,” katanya.

Selain itu, Munsyid Malaysia merancang mengadakan konsert sempena Maulidur Rasul yang menggabungkan semua artis nasyid.

“Konsert ini akan diadakan pada November atau Disember ini. Persatuan juga akan bekerjasama dengan Masjid Ar Rahman, Lembah Pantai, Kuala Lumpur mengadakan Temasya Masjid Ar Rahman atau ringkasnya Tamar,” katanya Ustaz Amal.

Perkembangan lain, Ustaz Amal memaklumkan Munsyid Malaysia turut mengalu-alukan penulis lirik, komposer dan peminat nasyid menyertai persatuan itu. mengumpul ahli.

“Keahlian didaftarkan secara individu termasuk mereka yang menganggotai kumpulan nasyid. Yuran keahlian hanya RM200 setahun.

“Ustaz Sohibul sudah meletakkan asas yang kuat jadi kami perlu meneruskan amanah yang ditinggalkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:00 AM