Che Amran (tengah) bersama Abu Bakar (kiri) dan Amran akan serikan sambutan Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah. FOTO Amirul haswendy Ashari
Che Amran (tengah) bersama Abu Bakar (kiri) dan Amran akan serikan sambutan Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah. FOTO Amirul haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari


KUMPULAN nasyid Raihan antara artis popular tempatan yang bakal menghiburkan pengunjung sempena sambutan Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah 2018 berlangsung selama seminggu bermula 7 hingga 14 April ini di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

"Pembabitan kami pada persembahan itu pada malam kemuncak sambutan yakni Malam Inspirasi Cinta Ilmu pada 14 April.

"Kami akan diiringi pemuzik sama yang sering mengiringi persembahan kami di peringkat antarabangsa sebelum ini," kata anggota Raihan, Che Amran Idris, 48.

Katanya, mereka akan membuat persembahan berkonsep Forum Bermuzikal iaitu setiap lagu disampaikan berkaitan dengan tema diangkat penceramah jemputan.

Raihan dianggotai Abu Bakar Mohd Yatim, 47, dan Amran Ibrahim, 46 ditemui di Auditorium Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Melaka, hari ini.

Hadir sama pada majlis adalah Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Wira Zainal Hussein dan Pengarah Urusan DMACRIZ Communication, Hamdan Jasin.

Selain Raihan, artis lain turut membuat persembahan dan perkongsian ilmu itu antaranya Aris Ariwatan, Nabila Razali, Adam Korie dan Angah Raja Lawak.

Acara malam kemuncak itu akan bermula 6 petang.

Selain persembahan artis pengunjung turut dijemput menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

Selain itu, penceramah tempatan seperti Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang, Ustaz Haslin Baharim (Ustaz Bollywood) dan Ustaz Datuk Dr Mohd Izhar Arif turut diundang memberi ceramah.

Tetamu kehormat adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 6:51 PM