Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Rompin: Pusat Aduan Bergerak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mula menjelajah ke seluruh pelusuk negara bagi mengambil tindakan segera berhubung aduan pengguna susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pada peringkat ini, pusat berkenaan akan ditempatkan di kawasan tumpuan orang awam dan menggunakan kenderaan milik agensi di bawah kementerian.

Beliau berkata, kakitangan KPDNKK dibantu dengan petugas daripada agensi berkaitan akan ditugaskan secara bergilir-gilir akan turut memberi penerangan kepada orang ramai berhubung pelaksanaan GST seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak sebagai pengguna.

"Semalam pusat aduan ini beroperasi di sekitar bandar Muadzam Shah sebelum di bawa ke Kuala Rompin hari ini (semalam).

"Pusat sama juga sudah beroperasi di Permatang Pauh di Pulau Pinang bagi kemudahan rakyat terutama dalam menyalurkan maklumat berhubung tindakan peniaga yang disyaki mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pusat Aduan Bergerak KPDNKK di perkarangan Pasar Awam Kuala Rompin di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya menjangkakan pusat berkenaan yang akan ditempatkan di pasar awam, pasar tani dan pasar malam akan meliputi seluruh negara menjelang akhir bulan ini.

"Sehubungan itu, kementerian berharap orang ramai memanfaatkan kemudahan itu bagi mendapat gambaran tepat berhubung pelaksanaan GST dan memudahkan tindakan diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengulas berhubung tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan berhubung pelaksanaan GST, beliau berkata, ada kes tertentu di mana pihaknya memerlukan masa bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 2:01 PM