HASAN (kanan) menunjukkan aplikasi MyKira GST pada telefon pintar selepas merasmikan aplikasi berkenaan pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Anti Pencatutan dan aplikasi MyKira GST di KPDNKK, Putrajaya.
HASAN (kanan) menunjukkan aplikasi MyKira GST pada telefon pintar selepas merasmikan aplikasi berkenaan pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Anti Pencatutan dan aplikasi MyKira GST di KPDNKK, Putrajaya.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan sistem aplikasi telefon mudah alih MyKira GST bagi membantu orang ramai membuat semakan segera impak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan dan perkhidmatan sebelum pembelian dilakukan.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi itu dibangunkan kementerian dengan kerjasama MIMOS Berhad.

Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi itu adalah pengguna boleh menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran.

“Menerusi MyKira GST, pengguna dapat mengenal pasti peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan terhadap barangan jualan dengan paparan ‘thumb’s up’ atau ‘thumb’s down’.

“Sekiranya didapati peniaga mengambil kesempatan, pengguna boleh membuat aduan menggunakan saluran e-aduan tersedia di dalam aplikasi berkenaan,” katanya selepas melancarkan sistem aplikasi MyKira GST dan Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali dan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Hasan berkata, aduan itu akan dihubungkan terus ke PGAP yang beroperasi 24 jam (sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak).

Menurutnya, 40 pegawai penguat kuasa akan bertugas di PGAP bagi memastikan setiap aduan yang diterima dilayan dengan baik, selain mengenal pasti lokasi seperti yang dimaklumkan pengadu.

“Pada masa sama, pegawai penguat kuasa tetap akan turun padang seperti biasa tetapi agak mustahil untuk mereka turun ke semua lokasi, jadi maklumat tepat daripada pengguna menerusi PGAP akan memudahkan operasi dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:19 AM