AFP

Istanbul: Pemenang 17 acara Grand Slam dari Switzerland, Roger Federer percaya Rafael Nadal masih lagi pilihan untuk menjuarai Terbuka Perancis bulan depan walaupun bintang Sepanyol itu sedikit bergelut ketika bermain di gelanggang tanah liat.

Federer yang muncul Juara Terbuka Perancis pada 2009, perlu memperbaiki aksinya di gelanggang tanah liat di Terbuka Istanbul yang juga menjadi acara Jelajah ATP Dunia pertama di Turki.

Tetapi Nadal yang menang di Terbuka Perancis sejak 2005 dan sudah mengumpul sembilan gelaran setakat ini, turut longlai apabila gagal melepasi pusingan ketiga di Terbuka Barcelona minggu lalu.

Federer berkata, Nadal pasti menjadi pemain yang perlu ditundukkan di Roland Garros, selain pemain nombor satu dunia dari Serbia, Novak Djokovic.

“Di Terbuka Perancis, Rafa masih menjadi pilihan selain Djokovic yang mempamerkan aksi membanggakan sejak kebelakangan ini.

“Walaupun prestasi Nadal tidak sebaik tahun sebelum ini, saya masih percaya apabila saingan Terbuka Perancis bermula, dia pasti sukar untuk ditundukkan,” katanya.

Federer, 33, masih lagi memburu aksi baik di gelanggang tanah liat selepas lebih kerap bermain di gelanggang keras musim lalu. Dia tewas pada pusingan ketiga di tangan Gael Monfils di Kejohanan Monte Carlo Masters bulan ini. Dia yakin aksi di Istanbul elok untuk persiapannya ke Terbuka Perancis.

“Ia mengenai kaedah serta teknik betul bermain di gelanggang tanah liat dan ia bergantung kepada corak yang akan saya praktikkan,” kata pemain nombor dua dunia itu.

“Saya beraksi di gelanggang keras sepanjang tempoh tujuh atau lapan bulan sebelum ini dan sudah tentu saya perlu mengubah corak permainan.

“Permainan saya akan bertambah baik jika kerap bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:28 AM