EZAD (kiri) dan Fieza. FOTO Mahzir Mat Isa
EZAD (kiri) dan Fieza. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

PELBAGAI dugaan pahit dan manis ditempuh penyanyi Ezad Lazim sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam karier seni.

Namanya pernah berada di puncak kegemilangan dan jatuh kerana kesilapan diri, namun Ezad, 40, tetap bangkit semula.

Membina karier nyanyian pada 1995 ketika berusia 16 tahun, pembabitan bersama kumpulan Exists adalah rezeki buat Ezad.

Namun begitu, adat bekerjasama dalam kumpulan pasti ada kepincangan disebabkan ego dan ketidaksefahaman.

Pada 2007 Ezad meninggalkan Exists selepas 11 tahun bergerak sebagai vokalis utama kumpulan itu menggantikan Mamat.

Sebaik meneruskan kelangsungan karier nyanyiannya secara solo, Ezad akui bukan mudah untuk berada di tahap sekarang.

Kejayaan memenangi tempat ketiga program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 bagaikan membawa sinar baharu buat Ezad.

Apatah lagi, lagu solo Ezad berjudul Demi Cinta ciptaan bersama Mohd Yasin dan lirik ditulis Iman Imran berjaya melonjakkan kembali nama bapa kepada dua anak ini.

Berbicara kembara seninya untuk 2019, Ezad berkata, dia banyak ditawarkan merakamkan lagu duet bersama penyanyi lain.

“Saya jarang bersikap memilih. Asalkan lagu sesuai dengan vokal, saya akan terima untuk bekerjasama dengan sesiapa saja.

“Begitu juga kerjasama dengan penyanyi baru di bawah Broadway Entertainment, Fieza Hanis bagi lagu Jika Kau Bercinta Lagi dendangan asal kumpulan Alleycats,” katanya.

Ezad berkata, dia tertarik menerima projek itu kerana lagu Jika Kau Bercinta Lagi kekal popular hingga kini.

“Meskipun lagu itu dirakam kumpulan Alleycats sekitar 40 tahun lalu tetapi sampai sekarang orang ramai masih menyukainya.

“Cuma, untuk rakaman semula secara duet dengan Fieza, susunan muziknya disuntik dengan elemen muzik pop era 1980-an.

“Boleh dikatakan menarik dan pendengar juga boleh menonton muzik video lagu ini di platform YouTube,” katanya.

Menurut Ezad, kerjasama dengan Fieza mengimbau kenangannya berduet dengan penyanyi Indonesia, Eva ketika merakamkan semula lagu Dua Insan.

“Harapan saya semoga lagu Jika Kau Bercinta Lagi akan diterima baik pendengar sebagaimana lagu Dua Insan dahulu.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pendengar dan peminat yang masih setia menyokong karier nyanyian saya,” katanya.

Baru-baru ini, Ezad yang bergabung dengan Mamat berjaya menghiburkan peminat dalam Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam.

Beralih sisi peribadi, Ezad kini bahagia di samping isteri tercinta Nor Azeana Ramli yang dikahwini pada 2013 dengan dua cahaya mata, Puteri Rania Keisha, 6, dan Putra Mohammad Darwish, 3.

Cubaan Berani Fieza Hanis

Enggan menolak peluang yang datang kerana minat mendalam pada nyanyian, mendorong bakat baru Fieza Hanis tekad mencuba nasib.

Dilamar Broadway Entertainment, Fieza atau nama sebenar Fieza Hanis Zalaluddin, 22, menyimpan impian semoga bakatnya menyinar.

Muncul dengan lagu duet Jika Kau Bercinta Lagi yang dirakam bersama Ezad, gadis manis ini teruja dengan pengalaman baru ditimba.

Apatah lagi katanya, mudah bekerjasama dengan Ezad kerana bekas vokalis kumpulan Exists itu mudah dibawa berbincang.

“Pada mulanya saya gementar apabila dapat tahu bekerjasama dengan Ezad.

“Saya bimbang sukar mendapat keserasian.

“Sebagai penyanyi baharu saya masih tidak banyak pengalaman. Banyak juga kelemahan harus diperbaiki.

“Namun, selepas bertemu Ezad tidak sangka dia seorang mudah berkerjasama dan sentiasa sedia membantu,” katanya.

Mengulas lagu Jika Kau Bercinta Lagi, Fieza berkata, lagu malar segar itu memiliki nilai sentimental yang tinggi.

“Bagi saya, satu penghargaan apabila mendapat kepercayaan daripada Broadway Entertainment untuk merakamkan semula lagu itu secara duet.

“Lagu itu menjadi pengenalan diri saya sebagai orang baharu dalam industri,” katanya.

Fieza yang mewarisi bakat seni bapanya berkata, dia bersyukur keluarga memberi sokongan kepadanya untuk bergelar penyanyi.

“Saya harap lagu itu diterima baik serta mesra radio. Saya sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Fieza sebelum ini bekerja di pusat peranginan di Perak berkata, dia sekadar cuba nasib dan memanfaatkan peluang depan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:02 AM