ZAIDI Anwari
ZAIDI Anwari
Norhayati Nordin

Menceburi dunia nyanyian pada 2010 hingga kini, Zaidi Anwari, 37, tetap bersemangat.

Biarpun lagu dendangannya kurang mendapat tempat di radio, Zaidi enggan diulit rasa kecewa.

Sudah empat single dihasilkan, anak jati Sarawak ini juga tidak gusar mempertaruhkan single terbarunya, Ke Hujung Nyawa.

“Meskipun kembara seni saya agak berliku, saya tidak pernah mengalah.

“Tolak tepi rasa kecewa, saya nekad untuk terus mencuba selagi ada peluang,” katanya.

Awal kemunculannya tujuh tahun lalu , Zaidi memperkenalkan dua single iaitu Cinta Tiada Akhir dan Jangan Pergi (2010). Kemudian diikuti single Awan Awani (2012) dan Bagai Hujan (2013)

Kini single Ke Hujung Nyawa hasil ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer terkenal Hazami menjadi taruhan.

“Asalnya saya menyanyi hanya untuk suka-suka. Tak sangka saya sudah hasilkan lima single.

“Kini saya dalam proses pembikinan album sulung yang memuatkan tujuh lagu. Ada dua lagu lagi akan dirakam.

“Bagaimanapun, sekarang fokus saya tertumpu pada aktiviti promosi single Ke Hujung Nyawa yang begitu istimewa,” katanya.

Mengetengahkan genre pop balada, Zaidi berkata kali pertama mendengar melodi dan lirik single Ke Hujung Nyawa dia terus suka.

“Lagu ini berjiwa dan semoga pendengar dapat menerimanya dengan baik.

“Saya juga berharap lagu ini mendapat sambutan. Segalanya bergantung pada rezeki.

“Saya sudah berikan yang terbaik, soal rezeki saya serahkan kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Menyasarkan album sulung siap rakaman tahun ini, Zaidi berkata material sudah ada.

“Dua lagu sudah ada cuma akan dirakam satu persatu seperti yang dirancang. Tidak perlu terburu-buru.

“Saya mahu menghasilkan album yang berkualiti kerana sangat menghargai karya seni,” katanya.

Tidak rasa terlewat untuk membina nama, Zaidi berkata faktor usia bukan satu alasan.

Ujarnya, usia hanyalah angka dan paling utama selagi nyawa dikandung badan jangan cepat mengalah dan teruskan usaha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 2:31 AM